DAP tidak akan bekerjasama dengan pemimpin kleptokrat - Guan Eng

Fareez Azman
Mac 21, 2021 18:04 MYT
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (kiri) bersama Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow menghadiri Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2021 di Spice Arena hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: DAP menegaskan tidak akan bekerjasama dengan UMNO melainkan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu membuat keputusan sebaliknya.
Menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, pendirian CEC berhubung kerjasama politik dengan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih tidak berubah.
"Saya tegaskan di sini bahawa DAP tidak akan bekerjasama dengan pemimpin kleptokrat pada pilihan raya umum akan datang.
"Ini kekal sebagai pendirian parti melainkan CEC membuat keputusan lain pada masa akan datang," katanya dalam ucapan pembukaan Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2021 di SPICE Arena, George Town pada Ahad.
Jelas Guan Eng, bagaimanapun parti itu boleh bekerjasama dengan UMNO demi faedah rakyat seperti di Johor dan Perak.
Katanya lagi, kerjasama di antara dua parti itu menyaksikan kerajaan negeri yang dipimpin UMNO menyediakan peruntukan di semua kawasan diwakili pembangkang.
"Kita boleh hadiri mesyuarat dan berbincang dengan kerajaan negeri yang diketuai UMNO berhubung isu-isu rakyat demi kepentingan rakyat," ujarnya.
Tambah Guan Eng, sebagai contoh, parti itu sedia bekerjasama dengan Ahli Parlimen dari UMNO bagi memaksa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan sidang Parlimen.
Selain itu, parti itu juga sedia bekerjasama dalam memberi tekanan kepada kerajaan PN agar menyemak semula pelaksanaan undang-undang kompaun RM10,000 dan RM50,000 terhadap individu dan syarikat yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang dianggapnya kejam.
Justeru, beliau menyeru kepada semua Ahli Parlimen pembangkang agar bersatu dalam mendesak kerajaan menjalankan sidang Parlimen.
#Lim Guan Eng #UMNO #DAP #SOP #Parlimen #pilihan raya #pembangkang #pilihan raya umum #kerjasama politik #kleptokrat #pemimpin #rakyat #undang-undang #COVID-19 #PRU15 #CEC
;