'DAP telah buat perubahan yang sangat besar' - Ahmad Maslan

Hasimi Muhamad
September 1, 2023 08:01 MYT
Ahmad berkata DAP yang ditubuhkan sejak lebih 50 tahun lalu telah membuat perubahan yang sangat besar dalam ideologi parti berkenaan. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: UMNO wajar menerima DAP sebagai sebuah parti yang boleh untuk parti Melayu itu menjalinkan persahabatan, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, DAP yang ditubuhkan sejak lebih 50 tahun lalu telah membuat perubahan yang sangat besar dalam perjuangan parti berkenaan.
Jelas Ahmad, ini termasuk melalui Deklarasi Shah Alam 2012 dan Deklarasi DAP@50 2016, yang mana DAP komited mempertahankan empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam kedua-dua deklarasi itu, menyebut bahawa mereka menyokong kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan; menyokong hak istimewa Melayu dan Bumiputera, menyokong kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, serta menyokong Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
"Pada pandangan saya, itu adalah satu kenyataan yang betul yang mereka lakukan," katanya ketika ditemui selepas selesai menunaikan solat Jumaat di sini, hari ini.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli MKT UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mahu DAP untuk berubah menjadi parti yang sederhana supaya boleh terus disokong oleh masyarakat Cina dan pengundi Melayu.
Nur Jazlan dalam kenyataan di laman Facebook antara lain berkata sekiranya benar DAP mengharapkan sokongan orang Melayu melalui kerjasama dengan UMNO, parti itu perlu berani membuat perubahan besar untuk mencapai kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Pulai itu turut menggesa agar DAP menggugurkan slogan “Malaysian Malaysia” daripada perlembagaan parti itu jika mahu mendapat sokongan pengundi Melayu.
Mengulas lanjut, bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata penerimaan terhadap DAP juga diperkukuhkan lagi selepas pimpinan DAP pada Disember 2022 memberi jaminan untuk menghormati empat perkara ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan.
"DAP salah satu parti yang tandatangan atas nama Pakatan Harapan (PH).
"Kemudian apabila kita lihat ucapan-ucapan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, beliau menyatakan dengan jelas DAP tidak diharamkan kerana DAP berpegang kepada Perlembangan, yang mana empat perkara tersebut ada di dalamnya," tambah Ahmad.
Sebelum ini, beberapa pihak mendakwa orang Melayu akan terus menolak UMNO kerana bekerjasama dengan DAP, termasuk mendakwa prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu, kerana penolakan pengundi Melayu.
Pada 16 Disember lepas, lima gabungan parti politik utama - PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama di Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Perpaduan yang stabil.
#DAP perlu berubah #Kerjasama UMNO dan DAP #PRK Pulai #Kerajaan Perpaduan