DAP tanding 7 kerusi Parlimen dan 18 DUN, dominasi kerusi PH Perak

Harits Asyraf Hasnan
April 19, 2018 23:40 MYT
Kesemua 25 calon itu diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada satu majlis di sini hari ini. -Gambar fail
DAP dilihat mendominasi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak apabila bakal meletakkan calon mereka di tujuh kerusi Parlimen dan 18 DUN.
Kesemua 25 calon itu diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada satu majlis di sini hari ini.
Bekas ADUN Pokok Assam, Teh Kok Lim bakal bertanding di Parlimen Taiping manakala bekas ADUN Canning, Wong Kah Woh bertanding di Parlimen Ipoh Timur.
“Selain Nga Kor Ming yang berpindah ke Parlimen Teluk Intan, turut mengambil langkah sama adalah bekas Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su Keong Siong yang bertanding di Parlimen Kampar.
Bagaimanapun, tiga yang lain kekal di kerusi Parlimen yang sama iaitu Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran; Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar dan Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.
Pada PRU 13, DAP meletakkan tujuh calon di Parlimen dan kesemua calon itu menang kerusi yang ditandingi.
Tujuh kawasan tersebut adalah Taiping (Nga Kor Ming), Ipoh Timur (Su Keng Siong), Ipoh Barat (M. Kulasegaran), Batu Gajah (V. Sivakumar), Beruas (Datuk Ngeh Koo Ham), Kampar (Ko Chung Sen), Teluk Intan (Seah Leong Peng).
Pasca PRU 13, DAP dilihat sebagai parti dominan dalam kalangan Pakatan Rakyat (PR) di peringkat Parlimen di Perak dengan DAP (7 kerusi), PKR (3) dan PAS (2)
Bagaimanapun, kerusi parlimen DAP dan PAS, masing-masing berkurangan satu kerusi apabila DAP tewas kepada calon BN, Datuk Seri Mah Siew Keong di Teluk Intan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) berikutan kematian penyandangnya Leong Peng.
PAS juga kehilangan satu kerusi Parlimen apabila Datuk Mujahid Yusof Rawa yang menang di Parit Buntar melompat parti menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
#Lim Guan Eng #mah siew keong #MalaysiaMemilih #Nga Kor Ming #Pakatan Rakyat #Parti Amanah Negara #PAS #pilihan raya kecil #PKR
;