DAP tak perlu turun kempen PRK Nenggiri hanya pandangan peribadi Ku Li

Sinar Harian
Julai 27, 2024 08:43 MYT
Megat Zulkarnain berkata, semua pihak berhak melontarkan pandangan masing-masing namun keutamaan harus memikirkan semangat Kerajaan Perpaduan. - Foto Sinar Harian
GOMBAK: Gesaan Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah agar DAP tidak turun berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRK) Nenggiri dianggap sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili parti itu.
Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, semua pihak berhak melontarkan pandangan masing-masing namun keutamaan harus memikirkan semangat Kerajaan Perpaduan.
"Kita sekarang berada di dalam Kerajaan Perpaduan, saya tidak fikir DAP akan tersinggung dengan kenyataan sedemikian kerana itu pendapat peribadi.
"Yang penting sekarang adalah semua parti dalam Kerajaan Perpaduan boleh memainkan peranan.
"Kita jangan lupa semasa calon UMNO bertanding di PRK Pelangai, DAP mainkan peranan di PDM SJKC Telemong dengan menyumbang 98 peratus kemenangan di PDM itu, " katanya diminta mengulas berhubung kenyataan Ku Li.
Beliau ditemui pada Program Mini di Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile Selangor di sini pada Sabtu.
Megat Zulkarnain juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri berkata, isu tersebut tidak perlu disensasikan sebaliknya memberi fokus membantu memenangkan calon BN.
"Soal DAP datang atau tidak, itu diletak nombor dua tapi pendirian kita sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan, kehadirannya dialu-alukan.
"Semasa calon DAP bertanding di Kuala Kubu Baharu pun, UMNO turun bantu calon mereka. Beginilah cara kita bekerja dan bekerjasama," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ku Li meminta DAP tidak perlu hadir berkempen di Nenggiri menjelang PRK di Kelantan.
Razaleigh berkata tidak ada sebab untuk pemimpin parti majoriti Cina itu untuk turun berkempen di kawasan yang 100 peratus Melayu.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#PRK Nenggiri #Tengku Razaleigh Hamzah #DAP tidak turun berkempen #Megat Zulkarnain Omardin