DAP tak bincang kerjasama 'khemah besar', fokus kuatkan PH hadapi PRU15 - Anthony Loke
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 20, 2022 16:41 MYT
Mei 20, 2022 16:41 MYT
GEORGE TOWN: DAP tidak membuat perbincangan dengan mana-mana parti luar komponen Pakatan Harapan (PH) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai kerjasama 'khemah besar' sebagai persediaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, Setiausaha agungnya, Anthony Loke, berkata, tumpuan parti itu dan PH adalah untuk untuk memperkuatkan dan memperkukuhkan parti sendiri bagi menghadapi PRU15.
Ia katanya, termasuk mempertahankan kemenangan kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenangi mereka pada PRU lalu, selain pentadbiran tiga negeri di bawah PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
"Kita tak ada perbincangan dengan Bersatu atau pihak di luar PH. Yang penting PH nak kukuhkan kekuatan dan kedudukan kita... fokus kita, apa kekuatan yang kita ada mesti dikukuhkan.
"Umpamanya di Pulau Pinang, di Selangor dan Negeri Sembilan. Tiga negeri ini yang dimenangi PH dan masih diterajui PH, mesti kita pertahankan dan kerusi Parlimen masih diwakili PH mesti dikekalkan... itu fokus kita," katanya.
Anthony berkata demikian pada sidang media di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini, pada Jumaat.
Ini adalah kunjungan pertamanya terhadap Pengerusi DAP Pulau Pinang itu selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP, Mac lalu.
Hadir sama, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim.
Mengenai situasi di Pulau Pinang pula, Anthony berkata, beliau yakin dengan kemampuan Kon Yeow selaku Pengerusi DAP negeri untuk mempertahankan negeri itu pada PRU15.
Tegasnya, mereka tidak boleh terlalu yakin dan selesa meskipun DAP Pulau Pinang berjaya mempertahankan kemenangan dan mendapat mandat rakyat sejak tiga penggal lalu .
Jelasnya, kekuatan mengekalkan kedudukan bukan hanya terletak pada DAP sahaja, tetapi bergantung kepada rakan-rakan komponen PH untuk mencapai majoriti yang selesa di DUN.