GEORGE TOWN: DAP, yang gagal mengekalkan 14 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung semalam, sememangnya menjangkakan akan memenangi hanya 10 kerusi memandangkan situasi politik negara yang telah berubah.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Chow Kon Yeow berkata, Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP sedar bahawa parti politik itu berdepan dengan cabaran yang besar semasa memasuki gelanggang PRN Johor baru-baru ini.

"Kita tahu kita akan menghadapi cabaran untuk mengekalkan 14 kerusi yang kita pegang dan memang kita menjangkakan sasaran (menang) antara enam hingga 10 kerusi.

"Oleh itu, saya percaya bahawa DAP merasa sasaran tercapai berdasarkan keputusan semalam memandangkan situasi politik semasa yang telah berubah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Perubatan Nuklear di Hospital Adventist Pulau Pinang hari ini.

KEPUTUSAN PENUH PRN JOHOR 2022

PRN Johor menyaksikan PH bersama rakan sekutunya memperoleh kemenangan bagi 13 calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 57 calon yang dipertaruhkan.

DAP memenangi 10 kerusi, manakala PKR, Amanah dan MUDA masing-masing dengan satu kerusi.

-- BERNAMA