DAP sedia kerjasama dengan UMNO tubuh kerajaan di Perak

Najib Aroff
Disember 8, 2020 11:48 MYT
Menurut Nga Kor Ming, satu perjanjian bertulis perlu dimeterai sekiranya cadangan kerjasama DAP dan UMNO mencapai kata sepakat - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kesediaan DAP Perak bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil bukti parti itu bukan anti Melayu dan atau anti Islam, kata Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.
Keputusan itu, kata Kor Ming, dibuat DAP selepas mengambil kira situasi di Perak di mana tiada satu parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan yang stabil berikutan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Jumaat lalu.
“Pada 4 Disember, 2020, DAP Perak telah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan UMNO demi membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil," kata Kor Ming dalam satu kenyataan pada Selasa.
Selain itu Kor Ming berkata, kesediaan bekerjasama itu juga mencerminkan jiwa besar parti itu yang sanggup meletakan kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama berbanding parti.
"Satu perjanjian bertulis perlu dimeterai sekiranya cadangan kerjasama ini mencapai kata sepakat.
"Perlu juga ditegaskan DAP tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah atau penyelewengan dalam soal integriti pentadbiran," katanya.
[LAPOR LANGSUNG] Ahmad Zahid menghadap Sultan Perak
Kor Ming dalam masa sama menegaskan, DAP Perak tidak akan menyertai kerajaan negeri yang baharu tanpa rakan-rakan komponen Pakatan Harapan iaitu Amanah dan Keadilan.
Kenyataan Kor Ming menimbul persoalan komposisi gabungan parti yang akan membentuk kerajaan baharu negeri Perak.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, UMNO mahu kerajaan baharu Perak diwujudkan dengan kerjasama bersama Bersatu dan Pas.
"Saya telah menyatakan seboleh mungkin kita mempertahankan kesepakatan Perikatan Nasional, ertinya kerjasama pembentukan kerajaan ini (Perak) adalah antara UMNO, Bersatu dan juga Pas," katanya selepas selesai menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta pada Selasa.
#Zahid Hamidi #Nga Kor Ming #UMNO #PAS #DAP #Pakatan Harapan #Sultan Perak #politik perak #Kerajaan Perak
;