DAP sedia kerjasama dengan Jawatankuasa Khas Bebas dengan syarat ketat - Guan Eng

Hasimi Muhamad
Januari 17, 2021 13:24 MYT
Guan Eng berkata, kerjasama itu dapat dicapai jika lebih ramai wakil Parlimen pembangkang dan pakar menyertai jawatankuasa tersebut bagi menjadikan ia lebih bebas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: DAP bersedia untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Khas Bebas bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara-perkara berkaitan darurat sekiranya pembangkang diberi peluang yang sama dalam menentukan hala tujunya.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, kerjasama itu dapat dicapai jika lebih ramai wakil Parlimen pembangkang dan pakar menyertai jawatankuasa tersebut bagi menjadikannya lebih bebas.
BACA: Proklamasi darurat: Jawatankuasa Khas Bebas ditubuhkan - PM
BACA: Darurat ini bukan rampasan kuasa tentera, tiada perintah berkurung - PM
Memetik Malay Mail, bekas Menteri Kewangan itu turut mengesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar memberi jaminan bahawa kerjasama dilaksanakan dengan telus dan ikhlas.
"Kami akan menerima dengan hati yang terbuka (sekiranya ada jemputan) tetapi dengan syarat yang ketat bahawa penyertaan kami tidak akan digunakan ‘menghalalkan’ tindakan salah atau tidak berperlembagaan oleh Muhyiddin," katanya memetik laporan tersebut, hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan itu mengingatkan Muhyiddin agar tidak mengambil kesempatan terhadap niat pembangkang sebagai jalan “meluluskan” keputusan yang bertentangan dengan Perlembagaan.
“Kami selalu bersedia bekerjasama melawan COVID-19 tetapi kami tidak mahu ia digunakan untuk mengawal kuasa,” tambah beliau.
Sebelum ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak alasan yang diberikan oleh Perdana Menteri, yang mahu melaksanakan darurat berkuat kuasa hingga 1 Ogos bagi membendung penularan COVID-19.
Tegas Guan Eng, para pemimpin PH secara konsisten menolak percubaan untuk melaksanakan darurat kerana ia akan menumpukan kepada kuasa eksekutif.
Katanya lagi, DAP mahukan lebih penjelasan sebelum memutuskan sama ada pihaknya akan memberikan kerjasama.
“Ia juga mesti mendapat kata sepakat daripada anggota PH (lain).
“Tetapi bagi DAP, kami bersedia bekerjasama, tetapi seperti saya katakan, dengan syarat kami tidak akan digunakan untuk meluluskan tindakan tidak berperlembagaan,” ujar beliau.
Dalam masa sama, Guan Eng turut menafikan dakwaan bahawa ahli pembangkang yang bersetuju menyertai panel khas darurat akan menyokong Ordinan Darurat.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan pihaknya telah mengutuskan surat kepada Ketua Pembangkang agar menyenaraikan tiga nama bagi menganggotai jawatankuasa tersebut.
Bagaimanapun, sehingga kini Takiyuddin berkata pihaknya masih belum menerima sebarang jawapan berhubung perkara itu.
Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan darurat dalam usaha mengekang peningkatan jumlah jangkitan COVID-19.
Tempoh pelaksanaan darurat itu adalah sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian apat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
#Muhyiddin Yassin #Lim Guan Eng #Takiyuddin Hassan #COVID-19 #Yang di-Pertuan Agong #DAP #darurat
;