DAP Sarawak sedia ketepikan sebarang perbezaan politik untuk dapatkan kerjasama GPS sokong PH

Bernama
Februari 29, 2020 07:02 MYT
Chieng Jen: Kini terpulang kepada GPS untuk menentukan sama ada untuk menyokong gabungan yang melibatkan UMNO dan Pas, atau gabungan PH. - Gambar fail
DAP Sarawak sedia untuk bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menyokong Pakatan Harapan (PH), kata pengerusinya Chong Chieng Jen.
Beliau berkata parti itu sedia mengenepikan sebarang perbezaan politik bagi tujuan bekerjasama dengan GPS untuk mengelak kelompok ekstremis daripada memperoleh kuasa, selain menyelamatkan negara daripada terjerumus ke kancah kemusnahan.
"Negara kita kini di persimpangan. GPS perlu mempuat keputusan dalam memilih antara terus bersama dengan pihak kleptokrat dan pelampau agama gabungan UMNO dan Pas, atau memelihara gabungan progresif PH," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurutnya kini terpulang kepada GPS untuk menentukan sama ada untuk menyokong gabungan yang melibatkan UMNO dan Pas, atau gabungan PH.
"Saya merayu kepada pemimpin-pemimpin GPS untuk mengenepikan semua perbezaan politik sebelum ini, dan bekerjasama dengan PH bagi menyelamatkan negara," tambahnya.
#Chong Chieng Jen #DAP Sarawak #Gabungan Parti Sarawak #GPS #Mahathir letak jawatan #Malaysia 2020 #Malaysia2020 #Pakatan Harapan #PAS #UMNO