DAP sanggup korban maruah demi undi - Liow
Bernama
April 13, 2018 14:39 MYT
April 13, 2018 14:39 MYT
Kesanggupan DAP menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum kali ini menunjukkan parti itu tidak mempunyai prinsip dalam perjuangan, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata demi undi Melayu, DAP rela mengorbankan maruah dengan mengetepikan simbol parti sendiri walaupun ia merupakan parti ‘senior’ dalam pakatan pembangkang.
"Walaupun DAP mendapat 85 peratus sokongan masyarakat Cina sebelum ini, mereka tidak mempunyai prinsip dalam perjuangan. Sanggup tidak gunakan logo parti sendiri kerana mereka yakin semua sokongan masyarakat Cina sudah masuk ‘poket mereka'," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama Parlimen Temerloh, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, Pengerusi MCA Pahang Datuk Hoh Khai Mun dan Ketua MCA Temerloh Datuk Wong Tat Chee.
Mengulas lanjut, Liow berkata tindakan DAP itu berbeza dengan MCA yang sudah menjadi rakan setia orang Melayu sejak merdeka serta bersama-sama bergandingan dengan UMNO dan parti komponen BN lain untuk membangunkan negara.
Sementara itu, Mohd Sharkar ketika berucap pada majlis berkenaan, pembangkang tidak ikhlas berkhidmat untuk rakyat dan hanya menggunakan kawasan yang ditandingi sebagai batu loncatan untuk mereka mendapatkan kuasa sahaja.
"Calon pembangkang suka melompat, mereka tidak duduk setempat kerana pada mereka kerusi disandang dan sebenarnya tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Contohnya Zulpuri (Tengku Zulpuri Shah Raja Puji) (DAP) yang dahulu menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab sekarang lari ke Parlimen Raub, Nasruddin (Hassan) (PAS) dulu di Temerloh sekarang umum bertanding di Parlimen Indera Mahkota… jadi mereka ini bukan nak berkhidmat untuk rakyat.
"Kalau mereka konsisten sepatutnya kekal di kerusi yang sama dan terus berkhidmat untuk rakyat. Pada saya mereka hanya menggunakan kerusi itu untuk bercakap isu parti mereka di parlimen atau DUN," katanya.
-- BERNAMA