DAP Sabah dilihat tertekan dengan krisis keyakinan - Bung Moktar
Eleanor Michelle Patrick
Januari 21, 2022 14:43 MYT
Januari 21, 2022 14:43 MYT
KOTA KINABALU: DAP Sabah dilihat semakin tertekan dengan krisis keyakinan susulan keputusan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu bertindak keluar parti.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, krisis keyakinan itu timbul susulan kekalahan besar parti itu dan pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Sarawak.
"Nampak gaya pergolakan (pembangkang) politik di Sabah semakin melebar.
"DAP Sabah dilihat semakin tertekan dengan krisis keyakinan, ini ekoran PRN Melaka dan PRN Sarawak yang mana DAP kalah teruk dan sudah tentu bahana kekalahan itu turut dirasai oleh DAP Sabah," katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.
Mengulas mengenai tindakan dua ADUN DAP itu, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah percaya mereka sudah mempunyai perancangan sendiri.
"Apapun politik adalah perkara yang hidup dan perjuangan perlu berlandaskan keyakinan, kalau kita sudah tidak yakin dengan apa yang sedang diperjuangkan maka kita perlu mencari hala tuju yang baharu," katanya sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua ADUN DAP itu.
Terdahulu, ADUN Sri Tanjong, Justin Wong dan ADUN Elopura, Calvin Chong bersama-sama bekas senator, Adrian Lasimbang telah mengumumkan keputusan untuk keluar daripada DAP berkuat kuasa serta merta.