DAP Perak sambut baik kehadiran Menteri Besar di majlis pembangkang

Astro Awani
Januari 24, 2022 11:17 MYT
Pada Ahad, Saarani hadir bagi merasmikan gelanggang Arena Sukan Aulong di Taiping, yang turut dihadiri Nga (duduk, dua kiri). - Foto Astro AWANI
IPOH: Kehadiran Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Perak disifatkan sebagai tanda politik matang.
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak Dr Abdul Aziz Bari berkata, ketegasan yang ditunjukkan Saarani itu adalah sesuatu yang baharu, bukan sahaja di Perak malah di seluruh negara.
"Saya mengucapkan tahniah atas ketegasan Menteri Besar kerana mengambil pendekatan politik matang, khususnya kesediaan beliau menghadiri program anjuran pihak pembangkang di Perak.
"Politik baharu dan politik matang amat perlu bagi mengurangkan pergeseran dan perselisihan yang tidak perlu dan melampau.
"Kebajikan rakyat harus diberikan keutamaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak pembangkang akur bahawa pendekatan yang dipelopori Menteri Besar itu tidak bertentangan dengan kedudukan dan peranan kerajaan dan pembangkang, khususnya dalam konteks demokrasi Westminster.
Pada Ahad, Saarani hadir merasmikan Arena Sukan Aulong di Taiping yang turut dihadiri ADUN Aulong merangkap Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.
Saarani berkata, beliau hadir ke majlis tersebut atas jemputan Nga, dan bukannya atas jemputan DAP, untuk merasmikan Arena Sukan Aulong.
"Walaupun ada perbezaan pendapat dan pandangan, orang akan kata kita hipokrit dan sebagainya, saya bagi peruntukan yang sama kepada ADUN pembangkang berbelanja untuk keperluan rakyat.
“Saya mengambil pengalaman kerajaan sebelum ini yang tidak memberikan peruntukan kepada pembangkang dan apabila saya jadi pembangkang, kerajaan yang memerintah pula tidak bagi peruntukan dan orang kawasan saya pun tidak dapat.
“Siapa juga yang menjadi Menteri Besar, kena berbuat kebajikan kepada seluruh rakyat negeri ini dan ini menjadi tanggungjawab saya," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda MCA Perak Daniel Wa yang antara lain mempersoalkan kehadiran Saarani dan Nga di satu pentas, seolah-olah Saarani tidak menghormati semangat Barisan Nasional.
Saarani turut dilaporkan berkata pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak akan berlaku di Perak.
Katanya, kerajaan negeri masih mendapat sokongan kuat termasuk daripada pembangkang dan akan diteruskan sehingga habis penggal.
#abdul aziz bari #Saarani Mohamad #dap perak #MB hadir program pembangkang
;