DAP mohon maaf kepada UMNO cadangan yang baik - Mohamad Hasan
Madiha Abdullah
Jun 8, 2023 00:36 MYT
Jun 8, 2023 00:36 MYT
KUALA LUMPUR: Tiada masalah jika DAP ingin memohon maaf kepada UMNO seperti yang dilakukan mereka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia pastinya perkembangan lebih baik memandangkan mereka akan bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan untuk tempoh masa yang lama.
"Tidak ada masalah. Itu cadangan yang baik kalau DAP berbesar hati, magnanimous untuk minta maaf (seperti yang dilakukan) kepada rakyat Sarawak, itu tak ada isu.
"Kalau boleh (minta maaf) lagi bagus kerana kita akan bekerjasama dalam satu kerajaan, kita mesti berbesar hati untuk melakukan apa yang baik untuk masa depan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 berkata, DAP perlu membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata yang pernah dilemparkan kepada UMNO sehingga mengguris hati semua ahli parti itu hingga kini.
November lalu, DAP membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sebarang kenyataan oleh pemimpin parti itu yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat negeri berkenaan.
Ia dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, meminta gabungan utama parti politik negara membentuk Kerajaan Perpaduan, susulan kemelut pembentukan kerajaan yang berlanjutan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).