DAP lulus pindaan perlembagaan halang wakil rakyat lompat parti
Bernama
September 25, 2022 17:41 MYT
September 25, 2022 17:41 MYT
SHAH ALAM: Kongres Khas DAP 2022 hari ini meluluskan pindaan perlembagaan yang melarang wakil rakyatnya melompat parti seiring pelulusan Rang Undang-Undang Antilompat Parti oleh Parlimen.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata pindaan itu, yang disokong oleh 632 perwakilan manakala dua menentang, akan dihantar ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dalam masa terdekat agar ia dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata pindaan itu turut merangkumi Ahli Parlimen yang dipecat kerana melanggar arahan dan dasar parti.
"Kalau dalam perlembagaan parti kata bahawa seseorang Ahli Parlimen yang melanggar arahan terlucut keahliannya maka Parlimen akan mengikut," katanya pada sidang media selepas kongres DAP di sini hari ini.
Loke juga berkata rundingan mengenai pembahagian kerusi di antara parti komponen Pakatan Harapan di beberapa negeri telah selesai manakala bakinya dijangka dimuktamadkan pada akhir bulan ini.
-- BERNAMA