DAP lah habis, Pakatan Rakyat belum habis - Nik Abduh

Haider Yutim
Jun 16, 2015 17:04 MYT
Kata Nik Abduh, selagi terdapat dua atau lebih parti dalam Pakatan Rakyat, bermakna gabungan itu masih wujud.
Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata beliau masih yakin dengan kewujudan Pakatan Rakyat meskipun sekutunya DAP sudah mengisytiharkan gabungan itu tidak lagi wujud.
Katanya keputusan yang dibuat DAP itu merupakan keputusannya sendiri dan ianya tidak menyebabkan pembubaran Pakatan Rakyat.
“Kita kekal dengan Pakatan Rakyat… keputusan DAP tu bukan membubarkan Pakatan Rakyat, maknanya dia buat keputusan dia lah.
“Kita tak keluar dari Pakatan Rakyat… maknanya kalau dia tolak kita, kita ada PKR,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen pada Selasa.
BACA: Pakatan Rakyat sudah berkubur - Guan Eng
BACA: Khairy gesa kerajaan Selangor dibubar susulan 'berkuburnya' Pakatan Rakyat
BACA: "Pakatan Rakyat kini tinggal sejarah" - Netizen
Katanya selagi terdapat dua atau lebih parti dalam Pakatan Rakyat, bermakna gabungan itu masih wujud.
“DAP lah habis… Pakatan belum habis,” tegas Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Bagaimanapun, katanya beliau lega kerana DAP sudah membuat keputusan.
“Dia (DAP) dah buat keputusan? Itu lah keputusan yang saya mahu… jangan suruh PAS buat keputusan. DAP buat keputusan sendiri, PAS dan PKR buat keputusan masing-masing,” katanya.
Namun, katanya ia masih bergantung dengan PKR sama ada masih mahu bersama PAS dalam Pakatan Rakyat, atau ikut bersama DAP.
Katanya, beliau akan menerima sesiapa sahaja ingin berbincang untuk menyatukan PAS di dalam Pakatan Rakyat.
Terdahulu, Jawatankuasa Pusat DAP yang bermesyuarat malam tadi memutuskan Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata Pakatan Rakyat dibentuk oleh muafakat tiga parti serta terikat dengan rangka dasar bersama, usul muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah menamatkan Pakatan Rakyat.
#DAP #nik abduh #Pakatan Rakyat #PKR #tidak wujud
;