'DAP kekal dalam kerajaan Selangor meskipun PKR bekerjasama dengan PAS'

Bernama
September 13, 2015 17:50 MYT
Lim (gambar) berkata langkah itu bagi menghalang PAS daripada memperkenalkan dasar pentadbiran yang tidak sesuai kepada rakyat Selangor. -Gambar fail
DAP akan terus mengekalkan kedudukannya dalam kerajaan negeri Selangor, meskipun PKR tetap berkeras mahu bekerjasama dengan PAS, kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.
Lim berkata langkah itu bagi menghalang PAS daripada memperkenalkan dasar pentadbiran yang tidak sesuai kepada rakyat Selangor.
Katanya, jika DAP berundur daripada kerajaan negeri Selangor, PAS dibimbangi akan berbuat apa sahaja, sebagai contoh, memperkenalkan larangan menjual arak.
"Pendirian kita jelas. Walaupun PKR mahu bekerjasama dengan PAS, itu ialah hak dan keputusan mereka.
"Bagaimanapun, kita mengakui ia akan sedikit menjejaskan (kedudukan) DAP dalam kerajaan Selangor," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Kedai Kopi dan Pendaftaran Pengundi Baru anjuran Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya di Taman Molek, di sini hari ini.
Lim berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian PKR yang tetap mahukan PAS berada dalam pakatan pembangkang dan bagaimana kedudukan DAP dalam kerajaan Selangor dengan pendirian PKR itu.
Turut hadir Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung.
#DAP #dasar pentadbiran #Forum Kedai Kopi #Lim Guan Eng #PAS #PKR #Selangor
;