'DAP jangan campur tangan urusan fatwa' - Dewan Ulama PAS
Media Statement
Februari 10, 2017 18:08 MYT
Februari 10, 2017 18:08 MYT
Dewan Ulama PAS Pusat hari ini mendesak kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng agar tidak lagi campur tangan dalam urusan fatwa-fatwa negeri itu sebagaimana berlaku sebelum ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, campur tangan yang dimaksudkan itu termasuk melibatkan fatwa penggunaan Kalimah Allah.
“Campur tangan sebuah kerajaan khususnya yang diketuai oleh bukan Islam terhadap fatwa adalah satu penghinaan terhadap agama Islam yang menjadi Agama bagi Persekutuan,” menurut kenyataan itu lagi.
Berikut adalah kenyataan penuh Dewan Ulama PAS Pusat:
1. Dewan Ulama PAS Pusat mendesak kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh Lim Guan Eng 'tidak lagi campur tangan dalam urusan fatwa-fatwa negeri' sebagaimana berlaku sebelum ini melibatkan fatwa penggunaan Kalimah Allah dan lain-lain.
2. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri P.Pinang) 2004 jelas menuntut 'fatwa negeri Pulau Pinang terus dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong' sebagai Ketua Agama Islam Pulau Pinang dan 'bukannya kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Lim Guan Eng' terlebih dahulu.
3. Surat rasmi yang dikeluarkan oleh Exco, YB Abdul Malek bin Abdul Kasim kepada Sahibus Samahah Dato' Hj Hasan Ahmad, mufti kerajaan Pulau Pinang yang tersebar di media sosial jelas menunjukkan campur tangan kerajaan terhadap proses pembuatan fatwa melibatkan Kalimah Allah. 'Exco terbabit tidak perlu berbelit menafikan dan berdolak dalih' bagi mempertahankan diri dan mempertahankan tindakan salah kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng.
4. Kenyataan bekas Mufti Dato' Hj Hassan dan kenyataan salah seorang jawatankuasa fatwa Datuk Md Salleh Hj Ahmad pada 8 Februari 2017 yang menyebut 'ada fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang tidak dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong kerana campur tangan politik' adalah sesuatu yang berat dan serius. Ia jelas melibatkan campur tangan politik kerajaan DAP dalam proses fatwa yang mungkin tidak sehaluan dengan pendirian kerajaan negeri.
5. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam. 'Campur tangan sebuah kerajaan khususnya yang diketuai oleh bukan Islam terhadap fatwa adalah satu penghinaan terhadap agama Islam' yang menjadi Agama bagi Persekutuan.
6. Sekiranya dengan hanya memerintah negeri, DAP sudah terlalu berani mencampuri urusan agama Islam, 'alangkah bahaya sekiranya DAP menjadi sebahagian pemerintah negara' (moga Allah jauhkan) sebagaimana impian Pakatan Harapan. Malang sekali, sebahagian orang Islam terpesona dengan lakonan DAP berkaitan Islam.