DAP jangan angkuh, semua tahu hudud memang agenda utama PAS - Penganalisis

Wan Syamsul Amly
Mac 24, 2015 13:57 MYT
KOK SEONG: DAP jangan angkuh, semua tahu hudud memang agenda utama PAS. -Gambar fail
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dinasihat agar tidak terlalu angkuh dengan kenyataan parti itu yang menolak pelaksanaan hudud selain meminta PAS keluar daripada Pakatan Rakyat.
Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, tiada sebab DAP dan PKR menolak agenda hudud PAS yang sedia diketahui dan difahami sebelum pembentukan Pakatan Rakyat itu sendiri.
"Guan Eng buat kenyataan angkuh dan lupa diri kerana asasnya semasa mula-mula bergabung dahulu, semua sudah tahu hudud merupakan agenda utama PAS.
"Walaupun tidak diangkat secara terang, tetapi semua tahu itu asas perjuangan PAS.
"Jadi mengapa mereka mengeluarkan kenyataan kurang bijak apabila PAS kata mahu melaksanakan hudud?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kok Seong mengulas kenyataan Guan Eng yang memaklumkan kesemua 37 Ahli Parlimen DAP mengumumkan keputusan menolak pelaksanaan undang-undang hudud oleh PAS kerana ia disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan.
Kata Guan Eng lagi, rakyat negara ini yang menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum yang lalu mengundi untuk dasar bersama, bukan untuk pelaksanaan hudud.
Mengulas lanjut kata Kok Seong, hudud disifatkan isu yang mendapat perhatian masyarakat Islam terutama di Kelantan.
"Tidak ada penolakan daripada PKR dan UMNO sendiri.
"Iklimnya sekarang rata-rata menerima pelaksanaan hudud melainkan hanya satu dua yang menolak.
"Jelas juga mereka yang menolak hanya sedikit dan mereka tidak mempunyai alasan kukuh untuk itu," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian percaya, ketika usul ini dibentang, PAS tahu tidak akan mendapat sokongan DAP kerana ia adalah perjuangan parti mereka sejak awal lagi.
"Bagi DAP, mereka harus melihat bahawa yang meluluskan rang ini adalah DUN Kelantan yang turut mendapat sokongan penuh ADUN PAS di negeri itu selain seorang daripada PKR.
"Maka, langkah untuk masih mahu bekerjasama dengan PAS menunjukkan, walaupun bukan dengan Abdul Hadi, DAP memerlukan PAS untuk sokongan orang Melayu.
"Tetapi apakah keputusan DAP untuk tidak keluar daripada PR akan diterima oleh ahli kerana ia masih akan dilihat memilih untuk kerjasama dengan PAS dan keputusannya tetap bersifat keputusan politik," jelasnya.
Sebelum ini, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dilapor turut menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Perkara tersebut dinyatakan baginda ketika bertitah dalam ucapan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Negeri (DUN) Kelantan ke-13.
#DAP #hudud #PAS #PKR #Sivamurugan Pandian #teo kok seong #UKM
;