DAP gesa kerajaan mansuhkan BTN dan Jasa
Haider Yutim
Jun 16, 2015 18:34 MYT
Jun 16, 2015 18:34 MYT
DAP hari ini menggesa kerajaan supaya memansuhkan jabatan yang didakwa mereka sebagai ‘propaganda politik’ seperti Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).
Menurut Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, tindakan itu perlu kerana kedua-dua jabatan itu dilihat menyalahgunakan jentera awam untuk memajukan kepentingan politik Barisan Nasional (BN).
"Dalam pembentukan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencadangkan untuk merasionalisaikan institusi sektor awam bagi meningkatkan produktviti dan prestasi.
"Jika kerajaan serius untuk merasionalisasikan sektor awam maka jabatan propaganda politik langsung tidak relevan kepada usaha pembinaan negara seperti BTN dan Jasa dan harus dimansuhkan segera," katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Selasa.
Selain itu, Zairil juga berkata dengan memansuhkan BTN dan Jasa, kerajaan dapat menjimatkan dana sebanyak RM80 juta dalam tempoh setahun.
Tardahulu, sebuah portal pada Isnin telah mendedahkan laporan di laman BTN yang menggesa kerajaan mengharamkan buku terbitan penerbit Indie kerana dikatakan memberi kesan negatif kepada kerajaan.
Lapor portal berkenaan, dokumen yang disediakan oleh bahagian penyelidikan dan penerbitan BTN itu antara lainnya mendakwa, bahan penerbitan berkenaan bersifat 'lucah' dan ‘bebas'.
Laporan juga mengatakan BTN telah melabel anak muda Melayu seperti Melati Rahim, Syefura Othman dan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai ikon DAP, yang didakwa hasil dari strategi untuk memecahkan undi orang Melayu.
Mengulas lanjut, Zairil yang juga merupakan seorang anak muda Melayu dalam DAP, berkata ‘serangan' BTN terhadap parti itu tidak mengejutkan kerana DAP sering digambarkan sebagai parti yang menakutkan orang Melayu.
“Sekiranya DAP mempunyai niat sedemikian buruk, sudah tentu DAP tidak dapat diterima pengundi berbilang kaum di Malaysia… apatah lagi tokoh Melayu hebat seperti sasterawan negara Datuk A Samad Said,” katanya.
Tambah beliau, perkara itu jelas merupakan fitnah serta tohmahan tidak berasas dan ianya jelas bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen negatif terhadap DAP, terutama sekali di kalangan masyarakat Melayu.