DAP gantung keahlian individu keluar ucapan provokatif terhadap BN

Afiezy Azaman
Ogos 10, 2023 07:30 MYT
Seorang ahli DAP digantung keahlian serta-merta selepas tular video ucapannya mengecam parti UMNO dan MCA di laman media sosial Facebook, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
KUALA LUMPUR: Seorang ahli DAP digantung keahlian serta-merta selepas tular video ucapannya mengecam parti UMNO dan MCA di laman media sosial Facebook, pada Khamis.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Jawatankuasa Disiplin parti juga akan mengambil tindakan susulan terhadap individu tersebut.
"Saya mengambil maklum mengenai satu klip video yang sedang diviralkan yang melibatkan ucapan seorang ahli DAP dalam satu majlis makan malam anjuran sebuah cawangan DAP.
"Selepas siasatan dalaman dibuat, adalah didapati majlis tersebut telah diadakan pada bulan Jun yang lalu dan bukannya semasa tempoh kempen pilihan raya.
"Individu berkenaan adalah seorang ahli biasa DAP dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Pada Khamis, tular sebuah video memaparkan ucapan seorang individu dipercayai ahli DAP yang mengecam dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap parti UMNO dan MCA.
Mengulas lanjut, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, pimpinan DAP mengutuk keras ucapan tersebut yang bersifat provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat.
Jelasnya, klip video lama itu sengaja ditularkan pihak tertentu pada waktu kritikal bertujuan untuk mematahkan momentum kempen PH dan BN.
"Saya menyeru semua penyokong PH dan BN tidak terpengaruh dengan klip video tersebut yang tidak sama sekali mewakili akhlak dan pendirian DAP," ujarnya.
#DAP #DAP gantung keahlian #ucapan provokatif #BN
;