DAP belum dapat surat Sultan Selangor - Tony Pua

Astro Awani
September 4, 2014 16:13 MYT
TONY PUA: DAP belum dapat surat Sultan Selangor
DAP masih belum menerima menerima surat jawapan daripada pihak istana berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, dia sudah memeriksa surat itu di pejabatnya di sini serta pejabat Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng di Pulau Pinang.
"Belum dapat surat, hanya PKR yang dapat, untuk PAS kita tidak tahu.
"Mungkin surat itu sudah dihantar tapi belum diterima," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.
Pada Rabu, PKR mengesahkan menerima surat jawapan daripada pihak istana berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara lain isi kandungan surat pihak istana itu memperingatkan agar lebih daripada dua nama dikemukakan kepada Sultan Selangor selain memaklumkan tidak ada penolakan terhadap nama Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor.
Bagaimanapun tidak lama kemudian, Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil mengeluarkan kenyataan media memaklumkan kenyataan itu belum dimuktamadkan dan ditarik balik.
Sementara itu Pua menjelaskan, pihaknya tidak mahu meneka isi kandungan surat itu selain mengakui akan mengadakan perbincangan dan membalasnya selepas menerimanya nanti.
"Kita tidak mahu meneka apa ada di dalam surat Sultan Selangor itu. Cuma kita masih tunggu, nanti kita akan adakan perbincangan dan membalasnya.
"Kita akan tetap menunggu, tidak mahu mempertikai apa-apa dan tidak mahu dilabel tidak menghormati Sultan Selangor," ujarnya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata parti itu akan menunggu surat dari Istana Selangor sebelum membuat kenyataan berhubung calon menteri besar Selangor yang baharu.
Ujarnya, pihaknya akan menunggu surat dari istana sebelum parti membuat perancangan seterusnya.
#Azizah #DAP #menteri #PKR #Selangor #Sultan #surat #Tony
;