DAP, Amanah tolak sebarang cubaan kerjasama melibatkan Hamzah Zainuddin

Astro Awani
Jun 29, 2020 08:05 MYT
DAP dan Amanah dakwa Hamzah Zainuddin (gambar) sebagai konspirator utama Langkah Sheraton. -Gambar fail
Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP menolak sebarang cubaan untuk membuat perjanjian dengan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dianggap kedua parti itu sebagai konspirator utama rampasan kuasa Langkah Sheraton.
Dalam kenyataan bersama pada Isnin, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahudin Ayub dan Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran menegaskan sebarang kombinasi parti memulihkan mandat rakyat mestilah melibatkan parti-parti asal ‘Pakatan Harapan Plus’ yang telah mendapat undi dan sokongan rakyat pada 9 Mei 2018.
Kata mereka, parti-parti ini termasuk Amanah, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Warisan dan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam parti Bersatu.
"Sebarang perkiraan yang melibatkan Hamzah, tetapi mengesampingkan Warisan dan kumpulan Dr Mahathir adalah tidak boleh diterima dan tidak berasaskan prinsip.
"Adalah penting bagi parti-parti Pakatan Harapan Plus untuk mencapai kesefahaman tentang siapakah musuh sebenar.
"Amanah dan DAP berpegang bahawa Warisan dan kumpulan Dr Mahathir dalam Bersatu bukanlah musuh sebaliknya mereka adalah sekutu dalam perjuangan menentang gabungan kleptokratik Perikatan Nasional," kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut kedua parti itu sebaliknya berpandangan bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Hamzah Zainuddin yang merupakan dalang Langkah Sheraton.
"Justeru itu, tidak boleh ada sebarang rundingan pembentukan kuasa dengan kumpulan pemimpin ini.
"Pada asasnya, kami ingin supaya rakan-rakan mengetahui siapa sebenarnya kawan dan lawan dan Kegagalan membezakan antara kawan dan lawan akan membawa kita ke arah kehancuran yang tidak terbendung," jelas kenyataan itu.
Sebelum ini terdapat desas-desus kerjasama politik apabila Hamzah Zainuddin dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama di Sabah.
Pertemuan itu diakui oleh kedua pemimpin tersebut, namun mereka menafikan berlaku sebarang kerjasama atau perjanjian.
#Amanah #Azmin Ali #DAP #Hamzah Zainuddin #Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Pakatan Harapan Plus #Parti Amanah Negara #Parti Keadilan Rakyat #PKR #PPBM
;