DAP, Amanah mahu PKR terima pilihan kedua Majlis Presiden PH

Astro Awani
Jun 19, 2020 18:15 MYT
DAP dan Amanah menjelaskan, pilihan pertama yang menamakan Anwar sebagai perdana menteri hanya mendapat sokongan kurang daripada 100 Ahli Parlimen. - Gambar fail
Sekutu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Harapan (PH), DAP dan Amanah mahu parti itu kembali kepada pilihan kedua yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 30 Mei lalu.
Menurut DAP dan Amanah, mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mei itu telah bersetuju dengan pilihan kedua iaitu menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri.
"Kami berharap usaha untuk mendapatkan sokongan melalui opsyen kedua boleh seterusnya dilakukan sepertimana dipersetujui kerana pentadbiran kerajaan PN adalah jelas mendatangkan kerosakan kepada institusi dan kewangan negara.
"Memandangkan ia opsyen yang pernah dibincang dan dipersetujui untuk dipertimbangkan bersama, sekiranya opsyen satu gagal mendapat sokongan yang mencukupi, adalah diharapkan pihak Keadilan kembali kepada keputusan mesyuarat Majlis Presiden pada 30 Mei 2020 yang telah dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri iaitu menerima opsyen kedua," kata DAP dan Amanah dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Setiausaha Orginasasi DAP Anthony Loke.
Dalam kenyataan itu juga, DAP dan Amanah menjelaskan, pilihan pertama yang menamakan Anwar sebagai perdana menteri hanya mendapat sokongan kurang daripada 100 Ahli Parlimen.
Malah DAP dan Amanah juga mendakwa, Anwar tidak berjaya mendapatkan sokongan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan tempoh masa yang dipersetujui telahpun tamat serta gagal mendapat sokongan yang mencukupi.
"Setelah berusaha sedaya upaya atau "exhausting all efforts", kita mendapati bahawa opsyen pertama hanya mampu mendapat sokongan maksima 96 Ahli Parlimen, iaitu 91 dari Pakatan Harapan (38 PKR, 42 DAP Dan 11 Amanah) dan 5 lagi termasuk Tun dan 4 Ahli Parlimen PPBM yang bersamanya.
"Usaha terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan sokongan GPS juga tidak berjaya dan tempoh masa yang dipersetujui telahpun tamat dan gagal mendapat sokongan yang mencukupi," kata DAP dan Amanah.
Sebelum ini Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan untuk menolak cadangan menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sekirang PH kembali membentuk kerajaan.
BACA: PKR tolak cadangan calonkan Tun M sebagai PM
#Amanah #Anthony Loke #Anwar Ibrahim #DAP #Khalid Samad #Mahathir Mohamad #Majlis Presiden #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #PKR
;