DAP akur titah Sultan Perak

Bernama
Mei 27, 2019 23:47 MYT
Nga berkata, walaupun DAP difitnah sebagai anti-Melayu dan Islam, namun parti itu sentiasa mengambil langkah sebagai sebuah parti mesra Islam. - Gambar fail
DAP Perak akan mengeluarkan arahan kepada lebih 300 cawangan parti di negeri itu supaya akur dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, terhadap larangan penganjuran program politik di masjid dan surau di negeri ini.
Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata parti itu mengakui masjid dan surau bukan medan untuk parti politik menjalankan aktiviti kepartian mereka.
BACA: Sultan Nazrin titah siasat program di masjid atas tiket politik
Justeru, beliau menyeru Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana jawatankuasa masjid yang melanggar titah baginda dan tindakan tegas wajar diambil termasuk menggantung tugas mereka.
"Perkara ini bukan sahaja tidak sepatututnya berlaku pada bulan Ramadan tetapi sepanjang masa," katanya pada majlis berbuka puasa anjuran DAP Perak, di sini hari ini.
Selain itu, Nga, yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, walaupun DAP difitnah sebagai anti-Melayu dan Islam, namun parti itu sentiasa mengambil langkah sebagai sebuah parti mesra Islam.
BACA: Bersatu, PH Perak sokong larangan salah guna masjid
Katanya, sebagai bukti, DAP telah memberikan sumbangan dianggarkan sebanyak RM1 juta kepada ratusan masjid dan surau seluruh negara pada Ramadan kali ini melalui peruntukan 42 Anggota Parlimennya.
"Contoh yang terbaik ialah Anggota Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh meluluskan peruntukan sebanyak RM130,000 kepada masjid dan surau di kawasannya untuk kegiatan kerohanian," katanya.
-- BERNAMA
#aktiviti kepartian #anti-Melayu #DAP #fitnah #Jabatan Agama Islam Perak #JAIPk #jawatankuasa masjid #masjid #mesra Islam #Nga Kor Ming #peruntukan #politik #program politik #Sultan Perak #sumbangan #surau
;