DAP akan 'mati' jika tidak bermain sentimen perkauman - Syed Ali

Astro Awani
Oktober 2, 2017 14:23 MYT
SYED ALI: DAP perlu menghormati budaya dan tatasusila rakyat negara ini yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam - Gambar fail
DAP perlu menghormati budaya dan tatasusila rakyat negara ini yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, parti itu juga tidak sewajarnya bermain dengan sentimen agama dan kebebasan sosial untuk menarik undi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
"Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, isu kaum, agama, budaya dan sosial tidak seharusnya dijadikan sentimen politik, ini memberi kesan negatif kepada keharmonian kaum," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
BACA: Cukuplah Kit Siang, DAP perlu dipimpin tokoh seperti Tan Seng Giaw - Abdul Rahman
BACA: Larang PAS bantah pesta arak tindakan politik tidak matang
Beliau mengingatkan, percaturan politik perkauman DAP perlu ditolak oleh rakyat yang cintakan kepada prinsip demokrasi berparlimen.
"Setiap kali berlakunya PRU, DAP akan menjadi juara perkauman dengan membakar sentimen orang Cina supaya menolak calon Barisan Nasional (BN) dan UMNO khususnya.
"Kempen seperti itu sudah menjadi acuan perjuangan DAP yang melihat kekuatan orang Melayu dan UMNO sebagai benteng kukuh yang menghalang hasrat mereka selama ini," jelasnya.
Oleh sebab itu, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Pesrekutuan berkata, DAP terpaksa memperkudakan beberapa parti serpihan yang mewakili orang Melayu seperti PKR, Amanah dan PPBM.
"Minoriti parti serpihan Melayu ini tergamak memperjudikan maruah dan harga diri kerana kemaruk kuasa dengan bertuankan DAP.
"DAP akan menerapkan budaya songsang dan melebarkan pertikaian isu agama dalam pakatan tersebut apabila parti serpihan gabungan itu hanya mengikut telunjuk DAP.
"Inilah sebenarnya ancaman besar kepada proses pembinaan tamadun dan budaya bangsa, akan berlaku kecelaruan dan akhirnya runtuh jika dibiarkan DAP berkuasa," tegasnya.
Syed Ali menegaskan, DAP sepatutnya sudah lama belajar menghormati aspirasi rakyat negara ini yang menolak apa juga bentuk budaya songsang dan tatacara hidup yang bercanggah dengan nilai kemanusiaan.
"Dalam sebuah negara yang mana Islam sebagai agama rasmi, DAP dilihat sengaja bermain dengan isu ketidakpuashatian dan keresahan bukan Islam.
"Tambah menyedihkan, ada pula segelintir pemimpin serpihan Melayu yang turut bersekongkol, membiarkan martabat Islam dipermainkan DAP sewenang-wenangnya ," tegasnya.
Katanya, parti itu juga sengaja membangkitkan soal-soal yang sudah pun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan supaya tercetus kegelisahan di kalangan rakyat pelbagai kaum.
"Sentimen agama, bahasa kebangsaan dan kedudukan orang Melayu sentisa menjadi bahan politik DAP terutama menjelangnya PRU.
"Sukar untuk menepis dakwaan bahawa DAP sengaja mempergunakan isu perkauman dan keresahan orang Cina di negara ini, biarpun andaian sedemikian kemungkinan hanya persepsi," tegasnya.
Beliau mendakwa, DAP akan 'mati' jika mereka tidak bermain dengan sentimen agama dan isu perkauman untuk menunjukkan parti itu sebagai juara kepada sebahagian masyarakat Cina di negara ini.
"Langkah itu sebagai salah satu strategi DAP untuk menangih undi terutama bukan Melayu untuk menjayakan doktrin politik perkauman parti itu pada PRU akan datang.
"Oleh sebab itu, DAP hanya boleh 'hidup' di kawasan bandar besar dan negeri-negeri tertentu yang mempunyai majoriti pengundi Cina," ujarnya.
Mengambil contoh dalam isu pesta arak 'Better Beer Festival 2017', Syed Ali menegaskan sikap ekstrem dan tidak menghormati tatasusila masyarakat Islam menyerlahkan belang sebenar DAP.
"Isu tersebut bukan isu politik, tetapi membabitkan kepentingan dan kesucian Islam dan penganutnya, mengapa DAP begitu celupar menolak bantahan masyarakat umum?" soalnya.
Dalam isu itu, Syed Ali mahu pihak berkuasa berkaitan dengan isu penganjuran pesta arak berkenaan supaya tegas dan tidak tunduk kepada mana-mana tekanan atau desakan.
"Ini soal maruah dan kesucian agama Islam, orang Melayu, dan perkara itu (Islam) sudah menjadi teras kepada pembentukan negara kita biarpun dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum," tegasnya.
#DAP #PAS #perkauman #politik #PPBM #PRU #sentimen #Syed Ali #UMNO
;