DAP adakan Kongres Khas 25 Sept, pinda perlembagaan

Bernama
September 14, 2022 14:03 MYT
Menurut Steven, selepas pindaan perlembagaan parti dilakukan, DAP akan mengemukakannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
KUALA LUMPUR: DAP akan mengadakan Kongres Khas pada 25 Sept ini dengan matlamat utama untuk meminda dan menyelaraskan perlembagaan parti itu seiring Rang Undang-Undang Antilompat Parti yang diluluskan di Parlimen.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Steven Sim Chee Keong berkata Kongres Khas itu melibatkan 3,672 perwakilan yang layak sebagai mengangkat prinsip dan semangat undang-undang antilompat parti.
"DAP antara parti dalam Pakatan Harapan yang terawal menyeru kepada pindaan atau pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti.
"Dengan semangat dan prinsip antilompat parti, maka DAP akan adakan pindaan terhadap perlembagaan parti kita," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini hari ini.
Beliau berkata selepas pindaan perlembagaan parti dilakukan, DAP akan mengemukakannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Kongres Khas DAP akan berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam dengan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Datuk Ngeh Koo Ham sebagai speaker.
Sim berkata cadangan pindaan perlembagaan parti itu adalah untuk memasukkan selepas Seksyen 3 Klausa III, Seksyen 4 seperti berikut:
"Mana-mana ahli Parti yang merupakan wakil rakyat di Dewan Rakyat, Senator yang dilantik ke Dewan Negara, atau wakil rakyat dalam mana-mana Dewan Undangan Negeri yang terletak dalam Persekutuan Malaysia, perlulah, tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Tertinggi Pusat, terhenti dari menjadi ahli Parti selepas melakukan apa-apa ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan yang selari dengan Seksyen 9(j) Klausa XII Perlembagaan ini."
Selain itu, cadangan pindaan juga adalah untuk memasukkan selepas Seksyen 9(i) Klausa XII, Seksyen (j) seperti berikut:
"Jawatankuasa Tertinggi Pusat boleh mengeluarkan apa-apa arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat, Senator yang dilantik ke Dewan Negara, atau wakil rakyatnya di Dewan Undangan Negeri yang terletak dalam Persekutuan Malaysia. Semua arahan yang dikeluarkan di bawah Seksyen ini, melainkan diarahkan oleh Setiausaha Agung, perlulah dibuat secara bertulis."
Sementara itu, Sim berkata DAP akan turut melancarkan jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada kongres tersebut.
Ditanya mengenai persediaan menghadapi PRU15, beliau berkata pada masa ini pembahagian kerusi di peringkat PH sedang dalam perbincangan dan dijangka selesai hujung bulan ini, selain menyatakan hasrat DAP untuk bertanding di kerusi yang pernah ditandingi Bersatu.
-- BERNAMA
#DAP #kongres khas #RUU Antilompat Parti #Steven Sim
;