'Dalang kerjasama DAP, PH lebih teruk daripada pembocor rahsia' - Ketua UMNO Bachok

Astro Awani
Mac 19, 2021 17:01 MYT
Mohd Zain tidak menafikan kemungkinan mereka yang terlibat adalah orang-orang yang mempunyai kepentingan demi menguntungkan diri sendiri tanpa meletakkan keutamaan parti. - Facebook/Mohd Zain Yasim
KUALA LUMPUR: Sikap pemimpin UMNO yang berunding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan lebih teruk berbanding individu yang dikatakan membocorkan maklumat mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti di Janda Baik baru-baru ini.
Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Mohd Zain Yasim berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya mendedahkan dalang yang mengadakan rundingan berkenaan kerana ia jelas melanggar prinsip parti, 'No Anwar, No DAP'.
Beliau mendakwa, tindakan Presiden UMNO itu mendedahkan, parti mengenal pasti dua MT yang terbabit membocorkan maklumat mesyuarat, adalah langkah mengaburi mata ahli parti selepas isu beliau dikatakan menandatangani surat persetujuan kerjasama Anwar dan DAP tular baru-baru ini.
"Dari segi ketetapan, mungkin MT tahu di dalam (siapa dalang). Tetapi hakikat sebenarnya kecelaruan ini sukar dibendung.
"Kalau tanya kita pemimpin baharu, kita tidak hendak benda itu (kerjasama UMNO bersama Anwar dan DAP). Bukan mudah kita hendak yakinkan masyarakat akar umbi nak bersama dengan Anwar dan DAP. Kita sebagai orang Melayu pun alergik dengan mereka.
"Lagipun kalau PRU15 (Pilihanraya Umum ke-15) dalam masa terdekat tidak boleh buat apa dah, lagi merosakkan (UMNO) adalah kalau kita dikaitkan dengan DAP," katanya semasa dihubungi pada Jumaat.
BACA: Rundingan PKR dengan UMNO? Saya tidak tahu - Mohamad Hasan
BACA: Desas-desus dua ahli MKT dipecat, Annuar Musa anggap ia tindakan kurang bijak
Dalang kerjasama DAP dan PH lebih teruk dari pembocor rahsia - Ketua UMNO Bachok
Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, UMNO sudah mengenal pasti dua ahli MT yang didakwa sering membocorkan maklumat mesyuarat parti.
Beliau yang mendedahkan perkara itu turut dilaporkan berang dengan tindakan dua ahli MT berkenaan dan berjanji akan mengambil tindakan tegas termasuk memecat mereka.
Dalam pada itu, Mohd Zain tidak menafikan kemungkinan mereka yang terlibat adalah orang-orang yang mempunyai kepentingan demi menguntungkan diri sendiri tanpa meletakkan keutamaan parti.
"Sepatutnya (Presiden yang mendedahkan perkara ini), tetapi saya rasa beliau tidak akan buat begitu kerana takut benda lain pula akan terbuka.
"Saya mengutarakan pandangan ini berasaskan pengalaman dan matlamat untuk kepentingan Melayu Islam," ujarnya.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini mendakwa tidak tahu-menahu wujudnya perbincangan antara parti itu bersama PKR bagi membentuk jalinan kerjasama baharu pada PRU15 nanti.
Malah ujarnya, beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang pertemuan bagi membincangkan isu berkenaan.
#UMNO #PKR #DAP #PRU #PH #MT #Zahid Hamidi #membocorkan maklumat mesyuarat #rundingan bersama PKR #Anwar Ibrahim #Ketua UMNO Bahagian Bachok #Mohd Zain Yasim
;