Dalam masa 24 jam, petisyen bantah PRU15 di musim banjir kumpul lebih 8,000 tandatangan
Astro Awani
September 28, 2022 17:05 MYT
September 28, 2022 17:05 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih 8,000 individu telah menandatangani petisyen membantah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilancarkan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli pada Selasa.
Dalam tempoh 24 jam selepas dilancarkan, petisyen Bantahan PRU15 Semasa Banjir: Selamatkan Nyawa Bukan Jawatan masih belum mendapat 10,000 tandatangan.
Ia dilihat agak perlahan berbanding petisyen-petisyen yang dilancarkan Pakatan Harapan sebelum ini yang mampu menarik tandatangan lebih 10,000 dalam masa beberapa jam selepas dilancarkan.
Dalam kenyataannya, Rafizi berkata jika Parlimen dibubarkan sebulan dari sekarang, pilihan raya akan diadakan pada musim tengkujuh.
"PRU15 semasa banjir bermakna lebih RM1 billion akan digunakan untuk menguruskan pilihan raya sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana.
"Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihan raya sedangkan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir.
"Hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat yang jelas bahawa rakyat mahu ahli politik menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir, bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan media.
Rafizi menyeru orang ramai menandatangani petisyen itu dan menyebarkannya ke saluran masing-masing.
Bekas ahli parlimen Pandan itu turut menyorot bahawa semua laporan ramalan cuaca meramalkan banjir akan menjadi lebih teruk tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Pada 17 Sept yang lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, mereka bersedia untuk berkempen bagi PRU15 walaupun ia diadakan pada musim tengkujuh.
Selain pembangkang, ahli politik dari blok kerajaan turut menyatakan pandangan bahawa adalah tidak bijak untuk mengadakan PRU semasa musim tengkujuh.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid mendakwa banjir itu adalah "naratif dan mitos" yang diputar belit oleh pembangkang bagi mengelak PRU15 diadakan tidak lama lagi.