Dalam kecelaruan politik, UMNO jangan tersasar haluan - Syed Ali

Astro Awani
Mac 22, 2021 13:00 MYT
UMNO sebagai parti terbesar mewakili Melayu menuntut barisan kepimpinannya agar lebih bertanggungjawab, telus dan bersedia menyantuni pandangan akar umbi dengan pemikiran yang lebih terbuka. - Reuters/Samsul Said
KUALA LUMPUR: Institusi UMNO perlu dihormati sebagai pertubuhan politik yang kekal relevan memperjuangkan kepentingan rakyat.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menjelaskan, parti itu tetap menyumbangkan kepada kerangka politik serta pembentukan negara bangsa sama ada ia terhakis kuasa atau hilang keyakinan.
"Justeru saya berpandangan bahawa UMNO tidak akan tersasar haluan daripada radar perjuangan asal walaupun berdepan dengan krisis kepimpinan dan kecelaruan dalam menentukan hala tuju selepas kejatuhannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Kerana itulah, kalangan pemimpin UMNO tidak sewajarnya menjadikan rasa ketidakpuashatian terhadap sesuatu permasalahan atau isu sebagai peluang untuk mengecam sesama mereka secara terbuka terutama menerusi platform media sosial.
"Saya khuatir perlakuan sedemikian hanya akan mencetuskan tanggapan umum sama ada sememangnya berniat untuk merosakkan parti dari dalam atau seseorang itu mahu dilihat popular," katanya dalam catatan di laman Facebooknya pada Isnin.
BACA: Perhimpunan Agung UMNO 27, 28 Mac
BACA: PAU 2020: Perwakilan perlu dapat kebenaran rentas negeri - Ismail Sabri
Untuk bangkit kata Syed Ali, UMNO sebagai parti terbesar mewakili Melayu menuntut barisan
kepimpinannya agar lebih bertanggungjawab, telus dan bersedia menyantuni pandangan akar umbi dengan pemikiran yang lebih terbuka.
"Berdepan dengan suasana politik semasa yang dicemari dengan pelbagai persepsi, provokasi dan sangkaan liar, UMNO juga mahu tidak mahu perlu menerima hakikat bahawa pemikiran generasi sekarang lebih kritis dan aggresif.
"Mereka melihat, memerhati dan bijak membuat kesimpulan yang boleh mempengaruhi persekitaran sama ada untuk kekal menyokong UMNO atau sebaliknya," ujarnya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2020 dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Mac depan.
Ahmad memaklumkan, keputusan itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi parti dan ia bakal berlangsung secara kombinasi iaitu perhimpunan secara bersemuka dan maya.
#UMNO #PRU14 #Melayu #politik #media sosial #Politik Malaysia #akar umbi #negara bangsa
;