"Dalam keadaan semua calon hilang deposit, pemimpin mereka masih bodoh sombong"- Zahid

Abd Hadi Che Awang
Mei 12, 2023 19:12 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis di Dewan Sivik Arau di sini hari ini. - Foto BERNAMA
ARAU: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara sinis menyatakan bahawa kepimpinan sebuah parti politik di negara ini masih tidak serik dan bersikap bodoh sombong meskipun kesemua calon parti berkenaan telah hilang deposit dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Menurut beliau, ianya termasuklah kenyataan bahawa parti itu tidak akan menjalinkan kerjasama dengan UMNO meskipun telah ditolak dari menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Tambah Timbalan Perdana Menteri itu, kepimpinan parti itu juga perlu menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi ketika ini sebelum memberikan sebarang komen serta kenyataan yang melibatkan UMNO atau parti-parti lain yang berada di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya ingin (memberikan) respon kepada kenyataan oleh seorang yang mengetuai sebuah parti yang telah hilang deposit (melibatkan) semua calon-calonnya, dalam PRU15 (yang) lalu.
"Dalam keadaan itu pemimpin itu tidak serik (dan) masih bodoh sombong dengan keluarkan kenyataan bahawa parti itu tidak akan (menjalinkan) kerjasama dengan parti di dalam kerajaan Perpaduan ini dan pada masa sama gabungan parti pembangkang menolak mereka.
"(Jadi) saya (juga mahu) ucapkan selamat berjaya kepada parti itu, mudah-mudahan (mereka) terus hilang deposit dalam Pilihan Raya Negeri yang saya yakin mereka akan turut sertai," katanya.
Zahid berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Perlis bersama Presiden UMNO di Dewan Sivik, Arau pada Jumaat.
Terdahulu, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan yang turut disertai UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ini kerana, jelas beliau, UMNO yang terpalit dengan amalan kleptokrasi tidak selari dengan prinsip perjuangan parti Pejuang.
Beliau, bagaimanapun, berkata, parti pimpinannya masih terbuka untuk perbincangan mengenai sebarang kerjasama terutama dengan pihak-pihak yang berada pada 'jalur Melayu'.
#Zahid Hamidi #Pejuang #PRN #Mukhriz Mahathir
;