Dakwaan UMNO dalam 'kegelapan', Khaled enggan layan kenyataan Khairy
Muhammad Aiman Hakeem
Julai 2, 2023 15:12 MYT
Julai 2, 2023 15:12 MYT
JOHOR BAHRU: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin enggan melayan kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dilihat terus memburukkan parti itu.
Ia berhubung ulasan Khairy yang menyifatkan bekas partinya itu berada dalam ‘kegelapan selama-lamanya’.
Jelas Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu, partinya tidak terkesan dengan sebarang komen negatif yang dikeluarkan bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
“Kalau saya jawab Khairy takkan berhenti. Dia akan cakap apa-apa sahaja sekalipun dan kita tidak menjangkakan bahawa dia akan katakan yang baik-baik tentang UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO di Ibu Pejabat UMNO Johor, di sini pada Ahad.
Sabtu lalu, Khairy dilaporkan menyifatkan UMNO berada dalam keadaan paling ‘gelap’ dan parti itu tidak mungkin pulih daripada keadaannya itu buat masa sekarang.
Pada Januari lalu, Khairy yang juga sebelum ini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, dipecat keahliannya daripada UMNO.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.