Dakwaan SPRM senjata politik, Anwar adakan pertemuan dengan Azam Baki
Firdaus Azil
Mac 22, 2021 15:21 MYT
Mac 22, 2021 15:21 MYT
PUTRAJAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya Datuk Seri Mohd Azam Baki.
Beliau kira tiba-tiba pukul 2.50 petang sebentar tadi, dan pertemuan itu dijadualkan akan berlangsung pukul 3 petang.
Sebelum ini, media melaporkan beliau sebagai berkata, pertemuan itu adalah bagi menyampaikan rasa gelisah pihak pembangkang susulan dakwaan agensi itu digunakan sebagai ‘senjata politik’ bagi menyekat pihak yang tidak sealiran dengan Kerajaan.
“Kita juga melahirkan rasa gelisah kerana dipercayai oleh sebahagian kita dengan bukti bahawa agensi kerajaan itu dijadikan sebagai senjata politik untuk menyekat musuh. Kita harus bagi ruang dengan baik dan positif untuk mereka (SPRM) dengar dan ulas,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau menzahirkan harapan SPRM akan menjadi sebuah agensi yang profesional dan bebas, tegas dalam membanteras rasuah, serta tidak dijadikan senjata politik mana-mana pihak.