Dakwaan Melaka bakal bertukar tangan, hanya mainan persepsi - Pas

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 2, 2021 16:04 MYT
ujar Pesuruhjaya Pas Melaka Datuk Kamarudin Sidek, isu yang ditimbulkan sejak semalam hanya sebuah mainan persepsi dan bukan suatu isu yang baharu. - Foto Astro AWANI
MELAKA: Pas Melaka yakin tidak akan berlaku sebarang perubahan landskap politik di negeri itu dalam masa terdekat.
Malah ujar Pesuruhjaya Pas Melaka Datuk Kamarudin Sidek, isu yang ditimbulkan sejak semalam hanya sebuah mainan persepsi dan bukan suatu isu yang baharu.
“Saya boleh nafikan perkara ini tidak berlaku yang mana seingat saya gerakan kata hendak tumbangkan kerajaan sedia ada ini suatu isu yang lama.
“Waktu itu saya dengar ada perubahan hendak tukar posisi dan beberapa Exco akan diturunkan. Dari situlah kata ada gerakan beberapa individu akan meninggalkan kerajaan dan mesra dengan Pakatan Harapan (PH) untuk bentuk gabungan baharu.
“Tetapi akhirnya hasrat itu terbatal, saya rasa perkara itu dibatalkan dan sekarang ini sekali lagi timbul desas-desus sama,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
BACA: DUN Melaka bergolak: Tiada pertemuan dengan TYT - Anwar
BACA: "Siapa nak jadi Ketua Menteri, silakan" - Sulaiman
Mengulas lanjut Kamarudin berkata, beliau menganggap dakwaan berkenaan hanya khabar angin memandangkan semua 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ada ketika ini masih setia dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
“Bagi pihak Pas sebenarnya itu semua hanya persepsi serta khabar angin dan hanya isu lama yang sengaja ditiupkan semula.
“Individu yang dikaitkan juga contohnya seperti Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen juga telah membuat penafian dan saya percaya semua 17 ADUN kerajaan ketika ini akan kekalkan kerajaan negeri sedia ada sehingga PRU-15,” katanya.
Semalam, selain Mohd Rafiq, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee turut menafikan terlibat dengan sebarang gerakan menjatuhkan kerajaan negeri dan bekerjasama dengan PH.
Difahamkan, sekurang-kurangnya empat ADUN kerajaan dikatakan akan ‘melompat’ menyertai PH dan ada yang didakwa sudah menandatangani akuan bersumpah (SD).
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah negeri yang juga ADUN Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Ab Wahab ketika diminta mengulas dakwaan PH negeri sudah mempunyai bilangan SD yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri jelasnya, beliau tidak tahu menahu.
“Yang itu saya tidak tahu sebab saya tidak terlibat dengan apa-apa gerakan jatuhkan kerajaan.
“Saya juga tidak terlibat dengan sebarang pertemuan sehari dua ini,” katanya ringkas ketika dihubungi.
#Pas Melaka #DUN Melaka bergolak #politik melaka #tukar kerajaan
;