Dakwaan konspirasi: Tindakan Khairul Azwan bukan pendirian Pemuda - Khairy

Shahrul Hassan
Julai 30, 2016 14:19 MYT
Khairy Jamaluddin (gambar) menegaskan laporan berhubung dakwaan konspirasi itu bukan pendirian Pemuda UMNO. -Gambar fail
Tindakan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun yang membuat laporan polis berkaitan dakwaan wujudnya konspirasi pihak tertentu untuk menjatuhkan perdana menteri adalah tindakan individu.
Demikian kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menegaskan bahawa laporan berhubung dakwaan konspirasi itu bukan pendirian Pemuda UMNO.
Justeru, beliau menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan kerana laporan telahpun dibuat.
"Beliau (Khairul Azwan) membuat laporan polis sebagai seorang individu. Beliau berkata mempunyai maklumat tertentu yang telahpun dikongsi bersama polis dalam keterangannya.
"Kita serah kepada polis untuk membuat siasatan lanjut sebab laporan polis dibuat atas kapasiti beliau sebagai seorang individu," katanya selepas melancarkan Fit Malaysia Fasa Dua di Stadium Batu Pahat, Johor.
Pada Jumaat, polis mengambil keterangan daripada Khairul Azwan berhubung laporan polis yang dibuatnya mengenai dakwaan wujud konspirasi pihak tertentu untuk menggulingkan perdana menteri dan kerajaan Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilapor berkata keterangan Khairul Azwan diambil Bukit Aman dan siasatan masih diteruskan berhubung perkara itu.
Pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat, perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menjelaskan tindakan Naib Ketua Pemuda UMNO itu bersifat peribadi dan bukannya mewakili parti.
#Khairul Azwan Harun #Khairy Jamaluddin #konspirasi jatuhkan perdana menteri #Pemuda UMNO
;