'Dakwaan Ketua Armada Bersatu kepada UMNO hanya provokasi' - Syed Ali

Astro Awani
Februari 24, 2021 17:35 MYT
Jelas Syed Ali, UMNO bukanlah parti setahun jagung yang berdepan dengan gelombang politik sebaliknya sudah masak dengan pelbagai cabaran dan ujian getir. - Foto Astro AWANi
KUALA LUMPUR: Dakwaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bahawa UMNO bukan lagi kuasa besar dalam politik negara amat tidak berasas dan sekadar provokasi.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menjelaskan, andaian Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu amat tidak tepat kerana beliau mungkin tidak memahami secara mendalam aspirasi perjuangan akar umbi UMNO sejak zaman pasca kemerdekaan sehingga sekarang yang berjaya membentuk kekuatan dan perpaduan orang Melayu.
"Ingin saya perjelaskan bahawa UMNO tetap kekal sebagai parti dominan di negara ini yang memperjuangkan kepentingan serta agenda rakyat walaupun ada ketikanya parti itu dilanda krisis kepimpinan dan keyakinan.
"Isu kepimpinan dan perselisihan dalaman yang berlaku dalam UMNO adalah perkara lumrah dan sering berlaku dalam mana-mana organisasi politik dan kerana dengan pengalaman itulah UMNO masih kekal bertahan sehingga ke hari ini.
"Saya tidak menolak ada anggapan bahawa kenyataan daripada Ketua Armada BERSATU itu sekadar 'jurucakap' kepada mereka yang berada di belakang tabir untuk memberi gambaran kononnya kekuatan UMNO hanya bergantung kepada Perikatan Nasional (PN) khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Rabu.
BACA: UMNO nafi Majlis Kerja Tertinggi tolak Bersatu dan PN
BACA: Parti itu platform, pemimpin yang mencorakkannya - Penganalisis
Sebelum ini, Wan Ahmad Fahysal mengingatkan UMNO supaya akur parti itu bukan lagi menjadi kuasa besar dalam politik negara.
Tegasnya, situasi politik pada masa kini menuntut semua parti bekerjasama memastikan agenda politik parti masing-masing dapat dijayakan.
Dalam pada itu jelas Syed Ali, UMNO bukanlah parti setahun jagung yang berdepan dengan gelombang politik sebaliknya sudah masak dengan pelbagai cabaran dan ujian getir.
"Saya berpendapat kekuatan dan hidup mati UMNO bukannya ditentukan oleh 'kuasa luar' tetapi bergantung kepada kesepakatan lebih tiga juta ahli dan keyakinan majoriti umat Melayu terhadap parti itu.
"UMNO pernah melalui sejarah gelap seperti ketika berlaku pertembungan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Presiden UMNO dan pemecatan Anwar Ibrahim yang mencetuskan gelombang reformasi di seluruh negara.
"UMNO pernah diharamkan oleh mahkamah dan gelombang reformasi Anwar menggugat keyakinan rakyat tetapi tetap kekal malah masih relevan sehingga ke hari ini," ujarnya.
Sehubungan itu katanya, apa sahaja andaian dan dakwaan sekutu PN, sama ada UMNO kekal bersama atau sebaliknya hanya akan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti serta bukan campur tangan atau tekanan pihak luar.
"Malah saya berkeyakinan bahawa UMNO akan mampu bertahan sebagai sebuah parti politik tunggal yang akan kekal menjadi sandaran kepada penyatuan bangsa Melayu walaupun diasak dengan pelbagai bentuk serangan dan provokasi politik," jelasnya.
Astro AWANI difahamkan, Syed Ali menerima surat kelulusan untuk menjadi semula ahli UMNO daripada ibu pejabat parti itu pada 18 Januari lepas.
#Anwar Ibrahim #Mahathir Mohamad #UMNO #PRU #pilihan raya #Syed Ali Al-Habshee #Ketua Armada Parti Pribumi Malaysia #Bersatu #Facebook #Perikatan Nasional
;