Dakwaan kerajaan tumbang hanya perang psikologi menjelang PRN - Penganalisis
Hilmi Malik
Mei 5, 2023 18:28 MYT
Mei 5, 2023 18:28 MYT
KUALA LUMPUR : Desas-desus mengenai kononnya ada gerakan untuk menumbangkan kerajaan ketika ini (Kerajaan Perpaduan) dilihat tidak mempunyai asas yang kukuh dalam memastikan hasrat itu tercapai.
Penganalisis Politik Universiti Teknologi Mara (UTM), Mazlan Ali sebaliknya berpendapat, usaha itu merupakan sebahagian daripada agenda perang psikologi pihak tertentu sebagai persiapan menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
“Setakat yang tersebar di media sosial hanyalah sekadar dakwaan kerana mekanisme yang wujud dalam sistem ketika ini terlalu sukar untuk katakan Kerajaan Perpaduan akan tumbang dengan sokongan 148 Ahli Parlimen dengan parti politik yang pelbagai.
“Ini satu perkara yang ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi yang hanya menjadi perang psikologi pihak tertentu,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Jumaat.
Tambahnya, situsasi negara yang terus terhimpit dengan polemik politik secara tidak langsung akan menimbulkan keraguan banyak pihak terutamanya soal kepercayaan negara luar terhadap Malaysia.
Ujarnya, kedudukan kerajaan ketika ini yang diisi dengan ahli politik pelbagai parti politik wajar diberi peluang untuk terus mentadbir negara selain menumpukan isu-isu rakyat yang masih tertangguh.
“Ini satu perkara yang perlu dielak kerana cakap-cakap tentang kerajaan akan bertukar akan jejaskan kepercayaan antarabangsa. Ini boleh mendatangkan kembali pandangan Malaysia akan kembali kepada era ketidakstabilan politik.
“Pelabur-pelabur asing yang berhasrat untuk melabur sememangnya akan terkesan dengan pandangan seperti itu dan perkara seumpama ini wajar dihentikan apatah lagi ahli-ahli politik yang sering berbalas kritkan.
“Kerajaan sendiri perlu tegas dalam tangani isu-isu seperti ini kerana walaupun ia kelihatan remeh namun jelas mengganggu pentadbiran negara… akhirnya situasi itu tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada negara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr Mazlan turut menyentuh mengenai kedudukan pembangkang yang seharusnya perlu memainkan peranan yang penting dari segi semak dan imbang di Parlimen.
Baru-baru ini juga katanya, kecelaruan politik di negara ini telah menyebabkan wujudnya campur tangan pihak Istana yang menzahirkan kebimbangan berhubung kemelut yang sedang melanda.
Dr Mazlan turut berkata, ahli-ahli politik sewajarnya memandang berat terhadap titah yang telah dikeluarkan selain lebih menitikberatkan mengenai soal tugas dalam memelihara nasib rakyat yang masih tercabar dengan kedudukan ekonomi.
Sebelum ini, wujud beberapa gerakan yang dikatakan sedang berusaha untuk menumbangkan kerajaan yang terdiri daripada beberapa Ahli Parlimen.
Perkara itu turut diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun pihaknya yakin kerajaan ketika ini akan kekal mentadbir sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.