Dakwaan kaitan dengan LTTE, Pas gesa siasatan segera atas Ramasamy

Sinar Harian
Julai 19, 2018 23:21 MYT
Rosli (dua kiri, hadapan) antara yang hadir ke IPD Kuantan membuat laporan polis terhadap P Ramasamy. Foto Sinar Harian
Pas Pahang menggesa polis menjalankan siasatan segera terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy kerana didakwa dikaitkan dengan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE) di Sri Lanka.
Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, siasatan perlu kerana LTTE sudah diisytiharkan sebagai pengganas.
Menurutnya, Pas bimbang kenyataan yang dikeluarkan pemimpin itu boleh mendatangkan keadaan tidak tenang dalam negara selain menimbulkan keresahan kepada rakyat.
“Justeru, kita minta polis segera jalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama demi kebaikan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama ini.
‘Atas sebab itu, hari ini kami melalui Dewan Pemuda Pas Pahang tampil membuat laporan polis agar siasatan dibuat terhadap beliau dengan segera,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, petang Khamis.
Turut hadir, Timbalan pesuruhjaya Pas Pahang yang juga Adun Beserah, Andansura Rabu dan Adun Panching, Mohd Tarmizi Yahaya.
#laporan polis #LTTE #P Ramasamy #Pahang #PAS #Pembebasan Harimau Tamil Ealam #pengganas #polis #Rosli Abdul Jabar #siasatan #Sri Lanka