Dakwaan Ismail Sabri ditekan cubaan pecah belahkan kepimpinan UMNO - Mahdzir

Kenyataan Media
Ogos 26, 2022 19:16 MYT
Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ada pihak luar sengaja mengambil kesempatan menggunakan perkembangan terbaru dalam parti itu untuk meraih kelebihan politik dengan mensasarkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditekan dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO pada Rabu lalu adalah cubaan untuk memecahbelahkan kepimpinan UMNO.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ada pihak luar sengaja mengambil kesempatan menggunakan perkembangan terbaru dalam parti itu untuk meraih kelebihan politik dengan mensasarkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Tak ada, itu semua bohong, kasihanlah dekat Perdana Menteri, itu semua ada orang buatlah, media sosial ini masalahnya.
"Dia macam ini, ada orang ambil kesempatan pasal apa berlaku ini untuk pecah-belahkan orang, semua tahu Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden parti UMNO, dia jadi Perdana Menteri, Zahid jadi Presiden.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Ibu Negara hari ini.
Mahdzir diminta mengulas dakwaan beberapa portal kononnya Perdana Menteri diberikan kata dua supaya mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) secepat mungkin atau dipecat daripada parti.
Beliau turut menafikan kata dua yang diberikan kepada Ismail Sabri jika tidak memenuhi tuntutan yang dikemukakan pada mesyuarat itu.
"Dua benda berlainan di tengah-tengah itu untuk pecahkan. Siapa nak pecah belahkan ini... orang itu nak pergi ke pilihan raya juga."
Ditanya mengenai agenda pertemuan pada sesi taklimat khas Presiden UMNO esok, Mahdzir berkata ia adalah untuk mengukuhkan parti.
"Ia lebih kepada atas nama untuk mengukuhkan parti," katanya.
UMNO dijadual mengadakan sesi Taklimat Khas Presiden bersama semua pimpinan parti itu termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian, petang esok.
#UMNO #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #kepimpinan UMNO #Mahdzir Khalid #mesyuarat Biro Politik #ditekan
;