Dakwaan Hishammuddin perancang utama 'Langkah Sheraton' tidak tepat - Khairudin Abu Hasan

Astro Awani
Disember 2, 2020 16:55 MYT
Khairuddin menjelaskan Hishammuddin merupakan seorang ahli politik yang sukar untuk dipengaruhi dalam gerakan politiknya. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Seorang penyokong setia Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menafikan dakwaan bahawa Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terlibat dalam 'Langkah Sheraton' untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Namun Khairuddin menegaskan mengaitkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku perancang utama 'Langkah Sheraton' adalah fakta yang nyata.
"Sebenarnya kenyataan YB Liew Chin Tong agak kurang tepat namun menyentuh tentang pembabitan Azmin Ali serta Hamzah Zainuddin selaku perancang utama ‘Langkah Sheraton’ adalah fakta yang nyata.
"Menteri Luar masa kini tiada dalam gambaran langsung pada waktu perancangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bekas calon Amanah di Parlimen Jasin itu menjelaskan Hishammuddin merupakan seorang yang setia kepada UMNO dan berhati-hati dalam setiap percaturan politiknya.
Menguatkan hujahnya, Khairuddin menjelaskan Hishammuddin merupakan seorang ahli politik yang sukar untuk dipengaruhi dalam gerakan politiknya.
Mengimbau ketika pentadbiran PH, Khairuddin menjelaskan beliau berhubung dengan ramai pemimpin politik dan mengetahui apa yang berlaku.
"Namun, tidak dinafikan bahawa Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mempunyai kekuatan tersendiri kerana terdapat lebih kurang 24 ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyokong beliau sehingga kini. Ini pendapat kami semata-mata," katanya lagi.
Khairuddin juga menjelaskan ketika pentadbiran PH, beliau pernah bertemu Hishammuddin untuk mencari satu formula kesepakatan dalam lanskap politik tanahair.
"Tetapi pada waktu itu Hishammuddin tetap dengan pendiriannya hanya mahu tumpu kearah melaksanakan agenda bagi menguatkan semula parti UMNO saja.
"Isu-isu lain, Hishammuddin tidak mahu terlibat secara langsung ataupun tidak langsung.
"Kenyataan YB Liew Chin Tong kemungkinannya berteraskan pada persepsi peribadi beliau semata-mata," katanya lagi.
#Hishammuddin Hussein #Azmin Ali #Hamzah Zainuddin #Khairuddin Abu Hassan #Langkah Sheraton #Pakatan Harapan #Perikatan Nasional #Anwar Ibrahim #Tun Mahathir
;