Dakwaan hina Sultan: Mahfuz sedia mohon maaf, bantu siasatan
Hakim Rahman
Januari 18, 2018 15:18 MYT
Januari 18, 2018 15:18 MYT
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sedia membantu siasatan berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam ceramahnya baru-baru ini.
Mahfuz yang hadir pada jam kira-kira 10.30 pagi bersama peguamnya, Mohd Fikri Abd Rahman dan beberapa penyokong bagaimanapun mempertahankan kenyataannya namun sedia memohon maaf.
"Saya hadir bagi memberi penjelasan dan kerana saya tidak melakukan kesalahan tetapi apabila Pemangku Sultan murka dengan kenyataan saya, maka saya sedia memohon kemaafan ke bawah Duli Tuanku Sultan dan juga Pemangku Sultan.
"Tetapi kalau dengar semula ucapan saya, apa yang saya timbulkan ialah isu faktor umur bukan menjadi penghalang kepada seseorang untuk menjadi pemimpin atau ketua," katanya di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Alor Setar sebelum memberi keterangan kepada polis.
Baru-baru ini, Mahfuz dalam ceramahnya, mengulas kewajaran Tun Dr Mahathir Mohamad berusia 92 tahun dipilih sebagai calon perdana menteri dan membandingkannya dengan Sultan Ahmad Shah yang kekal menjadi Sultan Pahang walaupun sedang gering.
Klip video ceramah Mahfuz bersama Pakatan Harapan berdurasi 6.38 minit itu tersebar di laman media sosial.
Semalam, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menzahirkan kekecewaan dengan tindakan Mahfuz yang mempersendakan ayahanda baginda dengan menjadikan sebagai bahan jenaka dalam ceramah politik selain melanggar ketertiban seorang Melayu.
Baginda juga percaya kertas siasatan terhadap Mahfuz sudah dibuka oleh pihak berkuasa selepas pihak istana dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis.
#ahli Parlimen
#hina
#Mahfuz Omar
#Pakatan Harapan
#Sultan Ahmad Shah
#Sultan Pahang
#Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
#Tun Mahathir