Dakwaan gangguan seksual: PKR tidak teragak ambil tindakan disiplin

Bernama
Mei 26, 2019 22:37 MYT
Seorang wanita dilaporkan mendakwa bekas pembantu dan bekas bendahari PKR cabang Sungai Siput membuat laporan polis di Selangor berhubung gangguan seksual terhadapnya oleh Kesavan (gambar) sejak akhir tahun lalu. - Gambar fail
Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak teragak-agak mengambil tindakan disiplin selaras dengan peraturan parti sekiranya siasatan polis mendapati berlaku pelanggaran undang-undang berhubung dakwaan gangguan seksual melibatkan Anggota Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.
Majlis Pimpinan Pusat parti itu dalam satu kenyataan berkata PKR memandang serius dakwaan berkenaan seperti yang dilapor media.
"PKR mengambil maklum bahawa laporan polis telah dibuat oleh kedua-dua pihak berkenaan dakwaan ini. Kami turut mengambil maklum bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan proses siasatan terhadap dakwaan ini," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata PKR turut menyokong penuh siasatan PDRM dan berharap proses tersebut dapat dilakukan dengan adil dan teliti.
Sebelum ini, dilaporkan seorang wanita mendakwa bekas pembantu dan bekas bendahari PKR cabang Sungai Siput membuat laporan polis di Selangor berhubung gangguan seksual terhadapnya oleh Kesavan sejak akhir tahun lalu.
BACA: Dakwaan gangguan seksual: Kesavan sedia beri kerjasama kepada polis
Bagaimanapun, anggota Parlimen penggal pertama itu menafikan dakwaan tersebut dan membuat laporan polis terhadap wanita terbabit.
-- BERNAMA
#bekas pembantu #gangguan seksual #laporan polis #PDRM #PKR #PKR Sungai Siput #S Kesavan #siasatan #tindakan disiplin
;