Dakwaan DAP 'abang besar' adalah pemikiran jumud, kolot - Kor Ming
Amirrul Rabbani
September 4, 2023 13:00 MYT
September 4, 2023 13:00 MYT
IPOH: Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming membidas kenyataan Datuk Radzi Jidin yang mendakwa parti itu bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Kor Ming berkata persepsi yang sengaja dimainkan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu disifatkan sebagai tidak berasas dan kolot.
Katanya DAP telah memainkan peranan sebagai rakan setia dan bekerjasama baik dengan semua parti komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Ini terbukti Perikatan Nasional (PN) terlalu taksub dengan pemikiran yang ‘kolot’ dan ‘jumud’, sehingga mengeluarkan pandangan yang tidak berasas.
“DAP adalah rakan setia kepada parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan. Kami bekerja sebagai satu pasukan di bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kami bekerja sebagai satu pasukan kerana kami percaya kami akan kuat jika terus bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersempena dengan Lawatan Kerja Rasmi Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Parlimen Tambun di Taman Perpaduan, di sini, pada Isnin.
Kor Ming sebelum itu diminta mengulas kenyataan Radzi bahawa DAP akan mengekalkan perjuangan parti mereka dan bertindak sebagai 'abang besar' yang tidak mempedulikan saranan rakan gabungan itu.
Bekas Menteri Pendidikan itu dilaporkan mendakwa DAP menunjukkan sifat sebenar apabila tetap bertegas tidak akan menggugurkan agenda negara sekular dan 'Malaysian Malaysia' walaupun disarankan UMNO Pulai.