Dakwaan bukan Islam paling ramai rasuah, Sanusi perlu mohon maaf - Anthony

Fareez Azman
Julai 12, 2023 16:34 MYT
Tegas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, kenyataan Muhammad Sanusi itu disifatkan sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
KUALA LUMPUR: DAP mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengaitkan masyarakat bukan Islam sebagai pemberi dan penerima rasuah terbanyak di negara ini.
Tegas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, kenyataan Muhammad Sanusi itu disifatkan sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
"Kenyataan "sweeping statement" seperti ini bukan sahaja tidak berasas malah menimbulkan perasaan kebencian di antara kaum dalam masyarakat majmuk kita.
"Kita mencabar Sanusi untuk mengemukakan laporan mana yang membuat kesimpulan tersebut? Di mana faktanya? Fakta berdasarkan kajian apa?
"Kalau tidak dapat memberikan bukti, Sanusi patut memohon maaf secara terbuka," jelasnya dalam kenyataan media pada Rabu.
Tambah Loke, gejala rasuah perlu diperangi bersama tanpa mengira latar belakang kaum dan tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kaum sama sekali.
"Gejala rasuah perlu diperangi secara bersama dan setiap orang yang terlibat dalam rasuah adalah salah tidak kira latar belakang kaumnya.
"Rasuah tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kaum sama sekali. Salah tetap salah tak kira siapa.
"Kenyataan berulangan seperti ini membuktikan bahawa Perikatan Nasional adalah perosak kepada keharmonian antara kaum di Malaysia dan perlu ditolak oleh masyarakat majmuk kita demi perpaduan rakyat Malaysia," tegasnya lagi.
Terdahulu, Muhammad Sanusi dalam program bual bicara Keluar Sekejap pada Selasa mendakwa orang bukan Islam paling ramai ditangkap atas kesalahan memberi dan menerima rasuah.
Jelasnya, dakwaannya itu benar dan adalah fakta, serta menuding jari kepada DAP yang didakwa mula memainkan naratif yang sama terhadap pemimpin Melayu.
"Saya pegang (pendirian) sama macam Tok Guru (Abdul Hadi) selagi saya benar, saya cakap. Pergi tengok rekod orang ditangkap atas kesalahan memberi dan menerima, ramai (orang) bukan Islam. Itu fakta dan benar.
"Sebab pada ketika kenyataan itu dikeluarkan, DAP memainkan (dakwaan) pemimpin Melayu ini rasuah. Semua ini pemimpin Melayu tak boleh dipercayai.
"(Mereka kata) Lebih baik orang bukan Islam baik daripada pemimpin Islam yang tak baik kerana mengamalkan rasuah. Tetapi bila tengok fakta, banyak ditangkap adalah orang bukan Islam," dakwanya.
#Muhammad Sanusi Md Nor #Anthony Loke Siew Fook #Masyarakat bukan Islam #Rasuah #Keluar Sekejap
;