Dakwaan BN tidak mampu bawa roh Islam dalam pemerintahan tidak benar

Bernama
April 28, 2018 04:54 MYT
Mustapa (dua,kanan) bersalaman dengan warga pendidik ketika hadir pada Majlis Bersama Warga Pendidik Jeli di Dewan Terbuka SMK Jeli 2 malam tadi. --fotoBERNAMA
Dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mampu membawa roh Islam dalam tampuk pemerintahan sekiranya berjaya merampas Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak benar.
Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan sentiasa berusaha memantapkan lagi pendidikan Islam dalam usaha melahirkan lebih ramai hufaz profesional di negara ini.
"Sebagai contoh, kita wujudkan Maahad Tahfiz dan ini selaras dengan perlembagaan dan sistem pendidikan negara.
"Mereka (pembangkang) sering menyatakan UMNO akan bawa maksiat, kemungkaran serta judi sekiranya (memerintah Kelantan) dan penyokong pula yakin. Ini yang kita (BN) mahu lawan," katanya ketika berucap pada Majlis Warga Pendidik Jeli di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli 2 di sini, malam tadi.
Beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Jeli dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas, berkata sistem pendidikan di negeri ini dapat ditingkatkan sekiranya kerajaan negeri dan pusat berada di pihak yang sama.
"Pelbagai kemudahan seperti dewan dan gelanggang sepak takraw dapat dibina seterusnya memberi faedah kepada anak di sekolah," katanya.
Pada PRU14, 9 Mei ini, Mustapa berdepan saingan tiga penjuru di Parlimen Jeli apabila dicabar calon PAS Mohamad Hamid dan Azran Deraman (PKR-PPBM) manakala di DUN Air Lanas beliau dicabar calon PAS Datuk Abdullah Ya'kub dan Dr Aminuddin Yaacob (PKR-PPBM).
Pada PRU13, Mustapa menang kerusi Parlimen Jeli dengan majoriti 5,269 undi dan di DUN Air Lanas, beliau menang dengan majoriti 47 undi.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #DUN Air Lanas #hufaz #Islam #jeli #Kelantan #Maahad Tahfiz #MalaysiaMemilih #Mustapa Mohamed #Parlimen #pemerintahan #pendidikan #pilihan raya umum #profesional #PRU14 #UMNO
;