Dakwaan berniat jahat, burukkan imej SPRM - Azam Baki

Sinar Harian
Oktober 15, 2023 16:29 MYT
Tan Sri Azam Baki berkata, dakwaan mengatakan pihaknya terlibat adalah jelas berniat jahat dan cubaan memburukkan imej. - Gambar fail
KUALA NILAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak terlibat dalam tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dakwaan mengatakan pihaknya terlibat adalah jelas berniat jahat dan cubaan memburukkan imej.
"Kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mendakwa kita terlibat dalam keputusan Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu jelas berniat jahat dan cuba memburukkan imej SPRM.
"Hakikatnya, kami tidak ada kena mengena dengan kenyataan yang dibuatnya,” katanya menerusi laporan The Star pada Ahad.
Pada Jumaat, Perikatan Nasional (PN) mendakwa tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid isytihar menyokong kerajaan kerana diugut oleh seorang pegawai tertinggi sebuah agensi berkaitan kerajaan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Iskandar Dzulkarnain dibawa bertemu pegawai terbabit di sebuah hotel di Damansara pada 1 Oktober lalu.
Ujarnya, ahli Parlimen itu diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang telah disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan. - Sinar Harian
#SPRM #Ahli Parlimen Kuala Kangsar #Dzulkarnain Abdul Khalid #Azam Baki
;