Dakwaan Azmin Ali dalam twitter tindakan terdesak Irmohizam

Bernama
Februari 12, 2017 10:04 MYT
Menurut Irmohizam kenyataan yang dibuat Azmin jelas hanya berniat untuk memecah-belahkan barisan kepimpinan kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dakwaan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendedahkan kononnya seorang menteri kanan akan meletakkan jawatan dalam catatan Twitter peribadinya pada Jumaat dilihat sebagai tindakan terdesaknya mengalih perhatian umum kepada isu semasa negeri ini.
Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim berkata baginya kenyataan yang dibuat Azmin jelas hanya berniat untuk memecah-belahkan barisan kepimpinan kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kenyataan yang dibuat beliau secara tidak langsung seolah-olah menggambarkan kedudukan Azmin lah yang sebenarnya kritikal terutamanya dalam politik di Selangor," katanya kepada media selepas penyampaian hadiah pertandingan gusti lengan peringkat negeri Selangori di lapangan terbang antarabangsa KL (KLIA) pada Sabtu.
Irmohizam berkata sebagai Menteri Besar Selangor, beliau seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan sepatutnya lebih menumpukan usaha untuk menjaga kebajikan dan keselesaan rakyat negeri ini. -- Bernama
#Azmin Ali #Irmohizam #letak jawatan #Menteri Kanan
;