Dakwaan ADUN kerajaan Perak tarik sokongan hanya propaganda pembangkang - Chang Lih Kang

Abd Razak Mohd Ali
Mei 21, 2023 19:56 MYT
Chang berharap pembangkang memberhentikan propaganda seumpama itu kerana ia banyak memberi kesan negatif. - Fail/Bernama
PARIT BUNTAR: Dakwaan kononnya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan Perpaduan Perak akan mengubah sokongan hanya propaganda pembangkang.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Chang Lih Kang berpendapat, ia bertujuan untuk mengganggu gugat kestabilan politik, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Saya rasa ini adalah satu ‘psy-war’ (perang psikologi) dan tak ada kebenaran langsung dalam kenyataan ini.
“Biasalah, PRN sudah dekat, walaupun negeri Perak tidak terlibat dalam PRN tetapi ini memang adalah salah satu taktik pihak pembangkang nak cuba mencetuskan ketiadaan keyakinan dalam kerajaan,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Malaysia Madani, Pakatan Harapan (PH) Perak di Dataran Kerian Permai di sini, hari ini.
Menurutnya, tiada langsung tanda yang menunjukkan terdapat ADUN Kerajaan Perpaduan Perak hendak mengubah sokongan.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (Mosti) berharap pembangkang memberhentikan propaganda seumpama itu kerana ia banyak memberi kesan negatif.
“Ia bukan sahaja memudaratkan kestabilan politik tetapi juga memudaratkan keyakinan pelabur asing untuk masuk melabur dalam negara kita,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sendiri telah menjelaskan perkara tersebut baru-baru ini, bahawa ia sekadar polemik untuk menggugat kestabilan kerajaan.
Tambahan pula, katanya, Perak juga telah meluluskan Enakmen Antilompat Parti yang melarang ADUN bertukar parti.
Terdahulu, Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria mendakwa beberapa ADUN kerajaan ada datang berjumpanya ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak.
Razman bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan nama ADUN kerajaan yang berjumpa beliau.
#Pengerusi PKR #propaganda pembangkang #Chang Lih Kang #Kerajaan Negeri Perak
;