Dakwaan ADUN BN terlibat usaha tukar kerajaan tidak benar - Bung Moktar

Abdul Hafiz Mustadi
Disember 8, 2022 22:40 MYT
Bung Moktar menasihatkan rakyat di negeri itu agar tidak terpengaruh dengan berita tidak benar yang disebarkan oleh pihak tertentu. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan dakwaan terdapat usaha untuk menggantikan kerajaan yang ditadbir oleh parti itu dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada kerajaan BN-Parti Warisan (Warisan).
Jelas beliau, tindakan pihak tertentu menyebarkan khabar angin dengan mengaitkan penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dengan usaha itu sebagai berniat jahat dan bertujuan untuk mengganggu pentadbiran GRS-BN di negeri itu.
"Merujuk cakap-cakap yang mengatakan ada wakil rakyat atau ADUN BN terlibat dengan usaha menggantikan kerajaan sedia ada, ia adalah palsu dan sengaja disensasikan oleh pihak tertentu.
"BN Sabah menafikan perkara ini dan saya selaku Ketua BN Sabah, kita terus akan berkerjasama dengan GRS untuk mentadbir kerajaan negeri Sabah," ujar Bung dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menasihatkan rakyat di negeri itu agar tidak terpengaruh dengan berita tidak benar yang disebarkan oleh pihak tertentu.
Katanya, kerajaan yang dipimpin oleh GRS-BN akan terus memberi fokus terhadap pembangunan negeri itu dan tidak akan melayan sebarang kerenah politik yang sengaja ditimbulkan.
"PRU15 sudah berlalu, jadi ini waktunya kita berkerja dan mempertingkatkan usaha menjaga kebajikan rakyat.
"Daripada terus melayan kerenah atau teori politik pihak tertentu, ada baiknya kita di pihak kerajaan menumpukan rakyat, pembangunan negeri Sabah," tambah Bung.
Sebelum ini, beberapa portal berita tempatan melaporkan dakwaan terdapat ADUN BN Sabah terbabit dalam usaha mengumpul sokongan bersama Warisan untuk membentuk kerajaan negeri baharu.
Dakwaan itu turut dikaitkan dengan perubahan politik yang berlaku di Semenanjung pada ketika ini.
#Kerajaan Perpaduan #tukar kerajaan #Kerajaan Sabah #Bung Moktar
;