Dakwaan 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian mahu Shahrizat kembali tidak benar - Rosni
Astro Awani
Februari 5, 2023 16:38 MYT
Februari 5, 2023 16:38 MYT
KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Rosni Zahari mempertikai dakwaan 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian menggesa Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali memimpin sayap parti itu.
Menurut Rosni, beliau telah membuat penyiasatan dan kajian terhadap kenyataan tersebut yang ternyata ia tidak benar sama sekali.
"Rata-rata mereka menyatakan kegusaran mereka mengenai keharmonian, kedamaian dan setia kawan dalam parti terutama dalam keadaan UMNO tengah nazak.
"Wanita UMNO mahukan kestabilan dalam membina kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada asas perjuangan parti UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Rosni berkata, beliau telah bersama empat ketua Wanita UMNO, masing-masing dengan gaya kepimpinan masing-masing, termasuk pengganti Shahrizat, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad.
“Noraini diangkat menjadi Ketua Wanita UMNO Malaysia pada masa UMNO sangat lemah, tiada kuasa dan tiada wang ringgit apatah lagi harta.
"Tidak sama kepimpinan terdahulu yang semuanya ada. Jadi adalah tidak adil kepada Noraini jika ada sesiapa nak samakan beliau dengan kepimpinan yang terdahulu.
"Dalam pada (situasi) sukar pun Noraini cuba buat yang terbaik dalam mengarusperdanakan Wanita UMNO semampu mungkin," tambahnya.
Rosni mengingatkan pemimpin Wanita UMNO supaya tidak terkeluar daripada sebarang agenda yang berpotensi memusnahkan parti.
Pada Sabtu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah mendakwa lebih separuh ketua wanita UMNO bahagian menggesa Shahrizat kembali menerajui Wanita UMNO Malaysia.