Dakwa hubungan keluarga dengan Chin Peng, Kuan Yew, Guan Eng beri 2 hari kepada Siti Mastura tunjuk bukti
Bernama
November 7, 2023 07:45 MYT
November 7, 2023 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memberikan tempoh sehingga Khamis ini kepada Dr Siti Mastura Muhammad untuk mengemukakan bukti bahawa beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin komunis, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Guan Eng, Ahli Parlimen Bagan, berkata tuduhan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas itu adalah tidak berasas dan akan mengambil tindakan sepatutnya jika sebarang bukti gagal dikemukakan dalam tempoh tersebut.
Melalui video ucapan pada Himpunan Jentera Muslimat dan Ameerah P040 Kemaman, Terengganu pada 4 Nov lalu yang dimuat naik di media sosial itu, Siti Mastura, Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang itu juga mengaitkan Guan Eng dan isterinya, Betty Chew dengan pemimpin DAP lain iaitu Teresa Kok, Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham.
"Tindakan seperti ini amat melampau dan keterlaluan, saya rasa ini mencerminkan politik perkauman, ekstremisme dan fitnah yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin Pas," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, semalam.
Beliau berkata tuduhan itu juga dipercayai dibuat untuk merendahkan kredibiliti kepimpinan DAP dan berbaur perkauman.
"Kita rasa sangat kurang senang hati dengan tuduhan yang melampau ini... saya rasa ini tidak patut berlaku dalam negara di mana kita bukan sahaja daripada masyarakat yang majmuk tetapi kita harus berjuang untuk semua tanpa kira kaum tanpa kira latar belakang,"katanya.
Sementara itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching dalam kenyataan, turut menafikan dakwaan itu dan mengingatkan supaya pemimpin yang berada di blok pembangkang untuk tidak bermain dengan sentimen perkauman.
"Pihak lawan sentiasa menggunakan retorik ini secara berterusan untuk mencalarkan imej pemimpin dan parti DAP. Ironinya, ketika DAP dan PAS bekerjasama di bawah gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini, isu sebegini tidak pernah dibangkitkan.
"Penyebaran fitnah seperti ini mampu memecahbelahkan perpaduan antara kaum di Malaysia dan blok pembangkang diingatkan untuk tidak terus menyemarakkan sentimen perkauman," katanya.
-- BERNAMA